KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) dinamakan sebagai sebuah daripada lapan fakulti perubatan luar negara yang baru diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, sekali gus membolehkan siswazah perubatannya memohon untuk berkhidmat di republik itu bermula 1 Feb ini.
MOH Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengiktirafan itu dibuat susulan cadangan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh tenaga kerja penjagaan kesihatan negara itu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat berikutan populasi yang semakin menua.
Penambahan terbaharu itu secara efektif meningkatkan jumlah keseluruhan fakulti perubatan luar negara yang diiktiraf daripada 112 kepada 120 institusi.
"Penambahan ini membolehkan Singapura memenuhi permintaan doktor yang kian meningkat memandangkan populasi kami yang semakin menua, walaupun kami telah meningkatkan pengambilan tahunan pelajar fakulti perubatan tempatan daripada sekitar 440 pada 2014 kepada 555 pada 2025," menurut kenyataan itu.
SMC menyemak secara tetap senarai kelayakan perubatan yang boleh didaftarkan bagi memastikan doktor lepasan luar negara menerima pendidikan dan latihan yang setanding dengan piawaian Singapura, dengan mengambil kira faktor seperti kedudukan antarabangsa, Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan prestasi siswazah.
Selain Malaysia, fakulti perubatan lain yang turut diiktiraf berasal dari Australia, India, Ireland, Pakistan, China dan United Kingdom, termasuk University of Galway, The Aga Khan University Medical College, Tsinghua University, City St George’s, University of London serta University of Exeter.
Sehubungan itu, pelajar yang berminat boleh memohon ke institusi berkenaan untuk pengajian perubatan di luar negara, manakala semua siswazah - tanpa mengira kewarganegaraan atau tahun pengijazahan - boleh memohon pendaftaran untuk berkhidmat di Singapura tertakluk kepada keperluan semasa.
SMC berkata doktor lepasan luar negara akan terus diletakkan di bawah rangka kerja penyeliaan pada tahun-tahun awal perkhidmatan mereka bagi memastikan standard penjagaan perubatan yang tinggi dikekalkan.
Senarai penuh dan dikemas kini bagi sekolah perubatan luar negara yang diiktiraf akan berkuat kuasa di bawah Jadual Kedua Akta Pendaftaran Perubatan 1997 bermula 1 Feb 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial