WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGLIBATAN WANITA PENTING BANGUNKAN EKONOMI BAHARU SARAWAK - ABANG JOHARI

28/01/2026 08:50 PM

KUCHING, 28 Jan (Bernama) -- Penglibatan wanita di negeri ini penting bagi memastikan kejayaan ekonomi baharu yang merangkumi sektor tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, aeroangkasa dan teknologi tinggi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Sarawak kini sedang melangkah ke arah ekonomi masa depan yang memerlukan penyertaan menyeluruh semua lapisan masyarakat, termasuk wanita yang dilantik sebagai tenaga kerja mahir, peneraju inovasi dan pembuat keputusan.

“Sarawak kini sedang melangkah ke arah ekonomi baharu iaitu tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, aeroangkasa, industri kreatif dan teknologi tinggi. Inilah masa depan negeri kita.

“Di dalam Kerajaan Negeri Sarawak semakin ramai wanita memegang jawatan kanan dalam perkhidmatan awam negeri dan banyak lagi tempat (agensi dan jabatan negeri) yang akan kita beri (jawatan) kepada wanita,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kejayaan ekonomi masa depan tidak akan dapat dicapai tanpa penglibatan aktif wanita dalam pelbagai bidang strategik.

Menyentuh soal kepimpinan, beliau berkata penglibatan wanita dalam kepimpinan dan pembuat dasar perlu terus diperkasa bagi memastikan pembangunan negeri lebih seimbang dan inklusif.

Abang Johari berkata pembangunan kapasiti kepimpinan wanita perlu dilaksanakan secara sistematik agar lebih ramai wanita dapat menyumbang di peringkat strategik, termasuk dalam sektor awam, korporat dan ekonomi digital.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak, kami amat menghargai kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan wanita Sarawak terus diberi peluang dan tidak ada yang tercicir,” katanya.

Bertemakan “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, sambutan berkenaan turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta barisan Kabinet negeri dan pemimpin Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan