SARIKEI, 28 Jan (Bernama) -- Polis mengenal pasti empat pemilik akaun bank yang digunakan bagi pemindahan wang membabitkan dua kes penipuan dalam talian yang dilaporkan di daerah ini baru-baru ini, dan sedang giat mengesan mereka.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata kesemua akaun didaftarkan atas nama syarikat yang tidak beroperasi di sini dan setakat ini, belum ada tangkapan dibuat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala pemilik yang membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak lain akan didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2024).
Aswandy berkata satu kes membabitkan seorang kontraktor berusia 50-an yang kerugian kira-kira RM460,000 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian tidak wujud pada awal bulan ini.
"Kes terbaharu membabitkan seorang pegawai farmasi swasta berusia 30-an yang mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas terperdaya dengan tawaran tender pembekalan peralatan perubatan di daerah Sarikei,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu apabila suspek gagal dihubungi sebaik pembayaran dibuat.
“Mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza namun tidak menerima peralatan seperti dijanjikan sebelum talian telefonnya disekat,” katanya sambil menambah mangsa dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan menawarkan tender berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial