KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Syarikat pelaburan VentureTech Sdn Bhd melabur dalam firma teknologi pendidikan (edtech) Tymba Education Group yang mengkhususkan dalam kelayakan perakaunan dan kewangan profesional.
Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata pelaburan tersebut adalah untuk menyokong usaha mengembangkan platform pembelajaran digital Tymba serta langkah pengembangan serantaunya di seluruh ASEAN.
Selain itu, pelaburan tersebut juga akan dapat meningkatkan platform pengurusan pembelajaran eksklusif Tymba, TymbaFlex, mengukuhkan kapasiti operasi dan mempercepat pengembangan pasaran serantau.
"Inisiatif ini akan dapat membantu syarikat menampung permintaan yang semakin meningkat terhadap kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat global yang dilaksanakan melalui model pembelajaran fleksibel, dibantu teknologi dan mudah diakses," kata kenyataan itu.
Pelaburan itu akan menyokong evolusi platform tersebut kepada Pengalaman Pembelajaran Bersepadu (ILE), yang menggabungkan tunjuk ajar dikuasakan kecerdasan buatan (AI), analitik lanjutan dan perkembangan berasaskan penguasaan automatik.
"Dilaksanakan melalui model pembelajaran hibrid yang menggabungkan pengajaran secara digital dan bimbingan, platform ini membolehkan pelajar mengikuti kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil mengimbangi komitmen profesional pada kos yang berpatutan," kata kenyataan itu.
Menurutnya, pelaburan itu sejajar dengan mandat VentureTech untuk menyokong syarikat Bumiputera dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) serta aspirasi negara di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Dengan memanfaatkan teknologi dan pembelajaran hibrid, Tymba menyumbang kepada pengukuhan perancangan program modal insan Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan profesional dan mengembangkan penyertaan Bumiputera dalam sektor profesional dan berasaskan pengetahuan,” katanya.
Ketua pegawai eksekutif VentureTech, Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan itu bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan profesional berkualiti tinggi melalui teknologi dan pembelajaran hibrid.
“Dengan menyokong TymbaFlex dan pertumbuhan serantau syarikat itu, VentureTech berhasrat untuk menjadikan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global lebih mudah diperoleh pada kos berpatutan, menyokong usaha pembelajaran sepanjang hayat serta mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam profesion bernilai tinggi,” katanya.
Ahmad Redzuan berkata selain modal, VentureTech turut berperanan menyokong syarikat dalam menangani jurang struktur dalam ekonomi.
"Dalam hal Tymba, ini termasuk meluaskan akses kepada pendidikan profesional, memperkukuh hasil modal insan dan membantu pengembangan platform yang memberi manfaat kepada individu, organisasi dan ekosistem secara meluas selaras dengan keutamaan pembangunan negara," katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Tymba, Mohd Airil Razali berkata sokongan VentureTech menyokong misi syarikat tersebut untuk menjadikan pendidikan profesional yang berkualiti tinggi lebih mudah diakses dan dapat menampung keperluan pada masa hadapan.
"Kerjasama ini akan mempercepat pelan tindakan teknologi kami, menyokong pengembangan serantau dan memperkukuh keupayaan kami untuk membangunkan profesional yang berkaitan dengan industri," katanya.
Kedua-dua syarikat itu juga berkata kerjasama tersebut melengkapi penglibatan berterusan Tymba dengan rakan strategik seperti Yayasan Peneraju dalam menyokong laluan pendidikan profesional untuk pelajar Bumiputera.
"Dengan platform digital yang boleh dikembangkan, model penyampaian hibrid dan peningkatan kehadiran serantau, Tymba berada di landasan untuk memainkan peranan lebih penting dalam membentuk masa depan pendidikan profesional di Malaysia dan rantau ASEAN," kata mereka.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial