PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Dua jaringan Faisal Halim memastikan Selangor FC kini selangkah ke pusingan kalah mati Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 selepas menumpaskan wakil Vietnam, Cong An Hanoi FC 2-0 dalam aksi Kumpulan A, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan pasukan pelawat hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila Vitao melakukan percubaan yang berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz.
Gergasi Merah juga berpeluang membolosi gawang lawan pada penghujung babak pertama, namun tandukan Mamadou Diarra berjaya digagalkan penjaga gol pasukan pelawat, Filip Nguyen, sekali gus menyaksikan babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan.
Gol yang ditunggu-tunggu Selangor FC akhirnya hadir pada babak kedua apabila Faisal berjaya merembat masuk bola muntah pada minit ke-60 selepas Filip gagal menampan kemas tendangan Alvin Fortes.
Faisal sekali lagi menggamatkan Stadium MBPJ apabila menjaringkan gol kedua melalui tendangan dari luar kotak penalti, meletakkan Selangor selesa di hadapan dengan dua gol.
Cong An Hanoi kemudian cuba bangkit mencari gol, namun tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan dan mereka akur tumpas 0-2.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor kembali ke kedudukan teratas Kumpulan A dengan mengumpul lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua keputusan seri dalam empat perlawanan.
Selangor akan menamatkan aksi kumpulan dengan menghadapi BG Pathum United dari Thailand dalam pertembungan teratas di stadium sama pada 4 Feb.
Dalam perlawanan lain Kumpulan A malam ini, Tampines Rovers dari Singapura jatuh ke tangga keempat selepas tewas 1-4 kepada Buriram United dari Thailand, manakala BG Pathum naik satu anak tangga ke kedudukan kedua selepas menumpaskan Dynamic Herb Cebu 2-0.
Cong An Hanoi berada di tangga kelima dengan empat mata, manakala Dynamic Herb Cebu dari Filipina menghuni tangga terakhir dengan satu mata.
Dua pasukan teratas daripada Kumpulan A dan B akan mara ke separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial