WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAWATAN PM BRITAIN KE CHINA CAPAI PELBAGAI HASIL POSITIF

30/01/2026 04:16 PM

BEIJING, 30 Jan (Bernama-CMG) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Britain Keir Starmer ke China yang bermula dari 28 hingga 31 Jan ini membuahkan hasil serta persetujuan yang menggalakkan bagi kedua-dua negara.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama pemimpin utama Britain ke China dalam tempoh lapan tahun.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk mengekalkan perkongsian strategik komprehensif yang mampan bagi jangka panjang, selain bersetuju membina hubungan peringkat tinggi dalam mendepani isu iklim dan alam sekitar.

Antara hasil utama lawatan itu, termasuk keputusan kedua-dua negara untuk menyambung semula dialog keselamatan peringkat tinggi. Selain itu, dialog strategik, dialog ekonomi dan kewangan, serta mesyuarat jawatankuasa bersama ekonomi dan perdagangan pusingan baharu akan diadakan pada tahun ini.

China dan Britain turut bersetuju secara prinsip untuk memulihkan pertukaran lawatan badan legislatif, dengan China mengalu-alukan ahli parlimen Britain melawat negara itu bagi memahami situasi sebenar.

Selain itu, mesyuarat jawatankuasa usahawan China-Britain akan diadakan, bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Sempena lawatan Starmer ke China kali ini, kedua-dua pihak mendatangani pelbagai dokumen kerjasama melibatkan sektor kewangan, kesihatan, komunikasi, pendidikan dan lain-lain.

Selain itu, pemimpin kedua-dua negara telah menyaksikan penandatanganan 12 dokumen kerjasama antara kerajaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, makanan, kebudayaan, pengawalseliaan pasaran, kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan sebagainya.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan