WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN THAIPUSAM DI PULAU PINANG LANCAR - POLIS 

01/02/2026 12:48 PM

GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang yang bermula semalam berjalan lancar dan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail. 

Beliau berkata sebanyak 1,128 anggota dan pegawai polis terlibat dalam penugasan sambutan Thaipusam di negeri ini sejak semalam bagi memastikan kelancaran dan keselamatan, dengan penugasan dilakukan secara 24 jam hingga malam esok.

“Hingga pagi ini, keadaan terkawal dan tiada laporan polis diterima. Kami akan terus memastikan kelancaran sambutan Thaipusam tahun ini sehingga pedati emas dan pedati perak kembali ke kuil masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Program Komuniti Kepolisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang dan mengadakan lawatan di Thaneer Panthal di kawasan itu, yang  terdapat 182 gerai dihias indah sepanjang dua kilometer di jalan itu menuju ke kuil di Jalan Air Terjun. 

Azizee berkata pihak polis juga menempatkan 10 Unit Light Strike Force (LSF) sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata pihak polis menganggarkan kira-kira 200,000 pengunjung hadir sejak semalam hingga pagi ini dan jumlah itu dijangka meningkat hingga 500,000 orang dari petang hingga malam nanti.

"Kami mohon kerjasama semua pengunjung sambutan Thaipusam untuk terus mengekalkan keamanan dan semua Thaneer Panthal mematuhi syarat permit dengan menutup muzik di gerai mereka bermula 11 malam ini," katanya.

Beliau berkata pergerakan pedati emas dan perak dijangka bermula dari kuil di Jalan Kebun Bunga pada malam esok dan akan tiba semula di kuil di Lebuh Penang dan Lebuh Queen kira-kira 7 hingga 8 pagi Selasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan