WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KETUMPULAN PENYUDAH HALANG TFC CIPTA KEMENANGAN KE ATAS SELANGOR

02/02/2026 09:17 AM

KUALA NERUS, 2 Feb (Bernama) -- Masalah ketumpulan penyudah menjadi punca Terengganu FC (TFC) gagal melakar kemenangan ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Pemangku ketua jurulatih TFC Tengku Hazman Raja Hassan berkata masalah itu masih menghantui pemain sehingga menyebabkan skuad Penyu tercicir dua mata di laman sendiri.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Kelantan itu berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan  prestasi dan semangat juang pemain. 

"Tetapi apa yang saya nampak pemain masih lagi menghadapi masalah sama, mencipta banyak peluang terutama pada babak kedua, tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan," katanya selepas perlawanan Liga Super di SSMZA malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC dan skuad The Red Giants berkongsi satu mata selepas seri 1-1.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Kim Pan Gon berkata beliau berbangga kerana anak buahnya tidak patah semangat dan terus berjuang meskipun terpaksa meneruskan aksi pada babak kedua dengan 10 pemain.

Pan Gon berkata beliau tetap berpuas hati dengan satu mata, meskipun sasaran asal untuk membawa pulang tiga mata penuh.

“Kami berdepan perlawanan yang amat sukar. Terengganu memulakan perlawanan dengan lebih baik. Namun, pada separuh masa kedua, walaupun beraksi dengan 10 pemain, kami masih mampu mencipta beberapa peluang,” katanya.

Selangor FC kini menduduki tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 32 mata daripada 16 perlawanan, manakala TFC pada kedudukan kelima selepas mengutip 25 mata daripada 16 perlawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan