SUKAN > BERITA

STRUKTUR BAHARU MPL MY JAMIN KEBAJIKAN PASUKAN, PEMAIN - SOLOZ

02/02/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Pengenalan struktur liga berasaskan kerjasama bagi saingan Malaysia Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim depan dapat menjamin kebajikan pasukan dan pemain dengan lebih baik.

Bekas pemain profesional MLBB, Muhammad Faris Zakaria yang lebih dikenali sebagai Soloz berkata struktur liga itu sangat penting memandangkan pada masa ini beberapa pasukan terpaksa bergelut untuk kekal bertahan susulan kos operasi yang tinggi dalam menguruskan organisasi e-sukan.

“Bagi saya pembaharuan oleh MPL MY ini sudah tentu menjamin kebajikan pemain. Hal ini mungkin sebelum ini pasukan yang bertanding bergelut dari segi kewangan, sebab kita perlu faham e-sukan ini memerlukan banyak wang.

“Dengan pembaharuan ini, sudah pasti penganjur liga akan memilih pasukan yang benar-benar stabil terutama dari sudut kewangan. Mungkin selepas ini pasukan yang bertanding tidak akan ada masalah kewangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu media melaporkan Pasukan Aero Esports dikenakan larangan seumur hidup daripada menyertai saingan MPL MY selepas didapati mempunyai tunggakan kewangan sejak Oktober 2025.

Selain itu, pasukan itu turut didapati melakukan beberapa pelanggaran kontrak sepanjang musim 15 dan 16.

Dalam pada itu, Soloz percaya struktur liga berasaskan kerjasama yang akan diperkenalkan kelak itu bakal menjadikan saingan MPL MY semakin kompetitif.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai bakat baharu daripada judul permainan itu dapat dilahirkan pada masa hadapan.

“Sebagai contoh, kalau pasukan dari luar masuk ke MPL MY sudah pasti mereka akan beri fasiliti yang lebih elok berbanding sebelum ini.

“Jadi perkembangan ini secara tidak langsung menjadikan liga semakin sengit dan berkembang secara sihat. Dari sini juga mungkin akan lebih ramai pemain hebat dapat dilahirkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan