JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui cecair rokok eletronik melibatkan rampasan dadah serta sitaan bernilai RM1.19 juta, hasil penahanan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Khamis lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dua lelaki terbabit temasuk seorang warga Singapura, ditahan sekitar 1.35 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.
“Serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah bank di Taman Mount Austin yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang berperanan sebagai pengedar. Setelah soal siasat, suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Setia Indah.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas 3,200 unit katrij vape mengandungi cecair dadah jenis ketamin dan 48 paket atau 960 gram serbuk ekstasi. Turut disita sebuah kereta Toyota Cross dan wang tunai berjumlah RM136,850,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah rampasan katrij vape tersebut merupakan yang terbesar di negeri itu setakat ini.
Beliau berkata lelaki Singapura berusia 38 tahun itu pula diberkas di Taman Molek dan berperanan menguruskan kewangan.
Ab Rahaman berkata siasatan awal mendapati, sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lepas itu menjual satu unit katrij vape berisi 3.4 mililiter dadah ketamin berkenaan dengan harga kira-kira RM300.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan rumah tersebut sebagai stor penyimpanan dan menggunakan runner untuk menghantarnya kepada pelanggan atau ejen di lokasi ‘drop point’ tertentu.
“Pelanggan mereka daripada pelbagai lapisan umur dengan kebanyakan adalah pengunjung pusat hiburan,” katanya bahawa semakan awal mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Kedua-dua lelaki terbabit direman tujuh hari bermula 29 Jan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Ab Rahaman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang membawa kemudaratan khususnya kepada golongan remaja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial