WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENENTUAN SEMPADAN MALAYSIA-INDONESIA BUKAN BERSANDARKAN PRINSIP PAMPASAN, UNTUNG RUGI - PM ANWAR

04/02/2026 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penentuan jajaran sempadan antara Malaysia dan Indonesia melibatkan kawasan di Sabah dan Kalimantan tidak bersandarkan prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri memaklumkan penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah sepenuhnya berdasarkan konvensyen antarabangsa, undang-undang dan perjanjian yang telah dimeterai, melibatkan dua konvensyen dan satu perjanjian utama bagi sempadan keseluruhan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata ia melibatkan Konvensyen Persempadanan 1891 antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak, Perjanjian Persempadanan 1915 antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda khusus bagi Sabah serta Konvensyen Persempadanan 1928 yang ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928 bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak.

“Bagi kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai yang menjadi isu ketika ini, penentuan jajaran sempadan adalah berdasarkan Konvensyen Persempadanan 1891 dan Perjanjian Persempadanan 1915,” katanya pada sesi penerangan khas berhubung isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata prinsip utama yang terkandung dalam perjanjian tersebut menetapkan bahawa penentuan kawasan adalah berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai pada garis latitud empat darjah 20 minit (4°20’) utara.

Anwar berkata kawasan utara garis latitud 4°20’ utara adalah di bawah British North Borneo (Sabah), manakala di kawasan selatan garis latitud sama berada di bawah Belanda (Indonesia).

Beliau berkata kerja-kerja persempadanan bersama Malaysia dan Indonesia dimulakan sejak 1977 dan berdasarkan peta yang terkandung dalam perjanjian tahun 1915 itu, kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai berada di selatan garis latitud 4°20’ utara.

Namun, Perdana Menteri menjelaskan hasil daripada pengukuran bersama di lapangan mendapati bahawa muara sebenar Sungai Sinapad sebenarnya bermuara di utara garis latitud 4°20’ utara dan bukannya di selatan seperti yang ditunjukkan dalam peta asal.

“Berdasarkan dapatan tersebut, pada pandangan Malaysia semua lembangan sungai yang bermuara di utara garis latitud 4°20’ utara adalah milik Malaysia,” katanya. 

Pada masa sama, Anwar berkata kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana kawasan tersebut merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.

Beliau berkata jumlah keseluruhan sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia dianggarkan sepanjang 2,064 kilometer (km) yang dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sabah-Kalimantan Utara dianggarkan sepanjang 419.4 km dan sektor Sarawak-Kalimantan Barat sepanjang 1,644.6 km.

Setakat ini, Anwar berkata hanya pengukuran sempadan sektor Kalimantan Utara telah dimuktamadkan, melibatkan dua OBP iaitu Pulau Sebatik dan Sungai Sinapad-Sungai Sesai dalam kawasan OBP B2700-B3100.

“Bagi OBP Pulau Sebatik, kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula oleh pasukan ukur bersama kedua-dua negara telah dijalankan dari Februari hingga November 2019. Hasil pengukuran yang diperoleh mendapati jarak muktamad dari East Pillar ke New West Pillar 23.842 km.

“Sementara bagi OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, kerja siasatan, penandaan, pengukuran yang dibuat sekali di antara pegawai-pegawai pemetaan Indonesia dan Malaysia dilakukan sehingga Ogos 2022 dan Oktober 2023. Itu jarak muktamad 11.545 km,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan