JAKARTA, 5 Feb (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN perlu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif termasuk layanan yang setara bagi menyokong pelaburan syarikat dari negara anggota lain, sekali gus memastikan rantaian bekalan serantau yang lebih bersepadu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara ini antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto semasa menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026 di sini.
Katanya pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan integrasi rantaian bekalan ASEAN, malah menggalakkan lebih banyak pelaburan dan peluang perniagaan di rantau ini.
“Kami bertukar-tukar pandangan mengenai cara syarikat Malaysia dapat melabur dan berkembang di pasaran seperti Indonesia dan pada masa yang sama, menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan ASEAN yang lebih bersepadu.
“Sebagai contoh, apabila syarikat Malaysia melabur di Indonesia, mereka perlu diberikan akses dan layanan yang setara termasuk dari segi kastam dan kemudahan perdagangan supaya mereka boleh menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.
Terdahulu, Tengku Zafrul dijemput sebagai ahli panel untuk sesi perbincangan di IES bertajuk, The Trends Shaping ASEAN Economic Evolution and Its Global Positioning, pada Selasa lepas.
Selain perbincangan dasar, beliau berkata pertemuan bersama Airlangga juga menjadi ruang untuk berkongsi idea baharu dan bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai langkah ASEAN dapat mengejar kemajuan bersama dan bukan bergerak secara bersendirian.
Beliau berkata ASEAN merupakan rantau yang penuh potensi, namun potensi tidak akan menjadi hasil sekiranya tidak dilaksanakan dengan betul.
“Dalam dunia yang bergolak, kekuatan ASEAN bukan pada jumlah sidang atau kenyataan bersama yang dikeluarkan tetapi pada tindakan yang konsisten bagi mewujudkan pertumbuhan kukuh dan mampan untuk rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial