WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PGA TUMPAS SINDIKET SELUDUP MIGRAN DI SEMPADAN NEGERI SEMBILAN

09/02/2026 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang bergiat aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan, semalam.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata dalam serbuan menerusi Op Taring Delta itu, pihaknya menahan 22 migran warga Indonesia terdiri daripada 20 lelaki termasuk empat tekong laut serta dua wanita.

“Selain itu, dua kereta jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan serta enam telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM239,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau berkata semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan berkaitan, Hakemal berkata Briged Tengah PGA menahan 161 individu dengan pelbagai rampasan melibatkan nilai keseluruhan RM8 juta menerusi 39 serbuan yang dijalankan sejak 1 Jan hingga 9 Feb lepas.

Kesemua serbuan itu dijalankan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.  

Menurut Hakemal beberapa siri operasi telah dilaksanakan seperti Op Taring Nyah 1 bagi mencegah kemasukan pendatang tanpa izin, Op Taring Delta (mencegah penyeludupan migran), Op Kontraban (membanteras penyeludupan barangan tanpa cukai), Op Bersepadu Khazanah (kesalahan berkaitan hidupan liar dan khazanah negara) serta Op Hazard bagi jenayah berkaitan alam sekitar. 

“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain selaras dengan pendekatan holistik dalam menangani jenayah rentas sempadan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan