WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENEROKA HARAM ISRAEL SEKAT DELEGASI DIPLOMATIK SEMASA LAWATAN DI TEBING BARAT 

10/02/2026 12:12 PM

SALFIT (Palestin), 10 Feb (Bernama-WAFA) -- Peneroka haram Israel pada Isnin menyekat satu delegasi diplomatik semasa lawatan di Wadi al-Matwi di bandar Salfit, Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Berita WAFA.

Peneroka haram itu menghalang delegasi yang terdiri daripada Wakil Persekutuan Rusia ke Palestin Buachidze Gocha dan Gabenor Salfit Mustafa Taqatqa ketika lawatan ke kawasan berkenaan, dengan memintas kenderaan diplomat Rusia itu serta kenderaan Gabenor Salfit, selain mengancam delegasi tersebut sekiranya mereka meneruskan lawatan.

Lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan gambaran langsung mengenai serangan peneroka haram Israel serta memantau secara dekat keadaan petani Palestin.

Gabenor Salfit Taqatqa mengecam tindakan menyekat delegasi itu sebagai satu perbuatan keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram, yang didakwa semakin berani berikutan sokongan kerajaan Israel, serta menggesa tindakan antarabangsa bagi melindungi orang awam dan delegasi rasmi di wilayah yang diduduki.

Wakil Rusia, Gocha menyuarakan kebimbangan serius berhubung insiden berkenaan dan menekankan keperluan untuk menghormati undang-undang antarabangsa serta memastikan perlindungan terhadap delegasi rasmi dan orang awam Palestin daripada sebarang serangan.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan