WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TANGANI ISU RUMAH IBADAT TANPA KEBENARAN SECARA BERFAKTA, IKUT UNDANG-UNDANG - ZULKIFLI

10/02/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Isu pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa perlu ditangani secara berfakta, berlandaskan undang-undang serta dipantau secara berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting agar tidak menimbulkan keresahan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau berkata pihaknya menjunjung kasih dan menyatakan sokongan penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Pendirian ini menegaskan kepentingan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik serta keharmonian masyarakat majmuk.

“Setiap pembinaan rumah ibadat hendaklah melalui proses permohonan yang sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli turut menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan mematuhi saluran yang ditetapkan demi menjaga keharmonian dan kepentingan bersama.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan.

Baginda juga berkenan dengan pendirian dan ketegasan Kerajaan Persekutuan yang disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut undang-undang.

Titah Sultan Sharafuddin, pendirian tegas itu selari dengan prinsip yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan tadbir urus yang baik.

Semalam, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan