WILAYAH - UTARA > BERITA

PEKERJA KILANG DIDAKWA BUNUH IBU KANDUNG

11/02/2026 12:10 PM

ALOR SETAR, 11 Feb (Bernama) -- Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya yang juga seorang eksekutif bank, awal bulan ini.

Amirul Shafiq Shamshul Zahari, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail. 

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, di sini antara 3.15 pagi hingga 8 pagi 2 Feb.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fatin Azera Norhisham manakala Amirul Shafiq tidak diwakili peguam.

Pada 2 Feb, polis menerima panggilan berhubung pembunuhan itu daripada seorang lagi anak wanita tersebut pada 8.45 pagi sebelum suspek, anak sulung mangsa ditahan 8.34 malam hari sama semasa dalam perjalanan ke Selangor dengan menaiki bas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan