WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NAFAS REKOD KEUNTUNGAN TERTINGGI DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

11/02/2026 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melakar sejarah apabila merekodkan keuntungan tertinggi selama dua tahun berturut-turut, masing-masing RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025, selepas berdepan kerugian besar dalam tempoh dua tahun sebelumnya.

NAFAS dalam kenyataan hari ini menyifatkan pencapaian itu sebagai titik perubahan penting sejak penubuhannya pada 1972, sekali gus mencerminkan keberkesanan langkah pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan bermula 2023.

Menurut kenyataan itu, pemulihan berkenaan digerakkan menerusi pengukuhan aliran pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan yang mencatat kerugian serta pemantapan kawalan dalaman.

Dalam perkembangan sama, NAFAS berjaya memperoleh kontrak pembekalan input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2028 yang menyumbang hampir RM1 bilion kepada hasil kumpulan melalui tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan pasaran terbuka.

“Langkah agresif turut diambil bagi mengutip bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, NAFAS mencatat kerugian RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023.

Sebagai sebahagian agenda reformasi, pertubuhan itu menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta, langkah yang menjana penjimatan tahunan kira-kira RM5 juta selain membolehkan sumber difokuskan kepada entiti berdaya saing dalam bidang input pertanian, perkhidmatan agronomi dan teknologi pertanian.

Menurut NAFAS, dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, agensi itu kini berada pada kedudukan terbaik untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri serta memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah secara lebih efisien, selaras dengan kapasiti pengeluaran 360,000 metrik tan setahun.

Bagi memperkukuh tadbir urus dan hala tuju perniagaan, NAFAS turut melancarkan Pelan Reformasi NAFAS 2026-2030 (NAFAS 2.0) bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing sebagai kerangka memperkasa integriti serta kelestarian institusi demi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang.

Pelan berkenaan memfokuskan lima teras strategik, iaitu Tadbir Urus dan Kepimpinan Organisasi; Perundangan dan Pematuhan; Pengurusan Perolehan; Model Perniagaan dan Kelestarian Kewangan; serta Strategi Komunikasi dan Pemulihan Kepercayaan Awam.

Dokumen itu turut diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam satu majlis baru-baru ini, menandakan kesinambungan usaha penstrukturan semula serta penyelarasan hala tuju NAFAS dengan dasar agromakanan negara.

Pada majlis sama, Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS, Tan Sri Zainal Rahim Seman, bersama Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Amir Mat Amin, dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin, membentangkan kemajuan reformasi yang merangkumi penambahbaikan pengurusan kewangan, proses perolehan serta tadbir urus korporat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan