WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SINGAPURA BENTANG BELANJAWAN 2026 BAGI MEMACU USAHA MEMPERBAHARUI STRATEGI EKONOMI

12/02/2026 09:42 PM

SINGAPURA, 12 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong hari ini membentangkan Belanjawan 2026, dengan tumpuan kepada meningkatkan usaha memperbaharui strategi ekonomi negara.

Wong, yang juga Menteri Kewangan turut menekankan bahawa republik itu berhasrat mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi pada julat dua hingga tiga peratus pada dekad akan datang.

Berucap pada belanjawan pertama dan penggal pertama di bawah kepimpinannya, termasuk fasa pembinaan negara selepas SG60, beliau berkata kerajaan menjangkakan hasil yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2025 (TK2025).

Wong berkata hasil TK2025 yang lebih tinggi berikutan prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan, peningkatan kutipan cukai pendapatan korporat dan kutipan hasil berkaitan aset yang lebih tinggi.

“Sehubungan itu, saya menjangkakan TK2025 akan berakhir dengan lebihan $15.1 bilion (S$1 = RM3.09), atau 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Bagi TK2026, saya menjangkakan lebihan yang lebih kecil iaitu S$8.5 bilion, atau 1.0 peratus daripada KDNK. Pendekatan kami kekal untuk memastikan belanjawan seimbang dari semasa ke semasa, termasuk sewaktu turun naik kitaran ekonomi,” kata beliau di Parlimen Singapura pada Khamis.

Belanjawan Singapura 2026 berjumlah S$154.7 bilion, meningkat 8 peratus daripada angka yang disemak semula iaitu S$143.29 bilion pada 2025.

Menurut lampiran Penyata Belanjawan 2026, hasil operasi Singapura bagi TK2026 dianggarkan sebanyak S$134.75 bilion, manakala jumlah perbelanjaan dianggarkan pada S$137.32 bilion.

Perbelanjaan operasi bagi TK2026 dijangka sebanyak S$103.27 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan dianggarkan S$34.05 bilion.

Sementara itu, Belanjawan Singapura 2026 juga akan menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai kelebihan strategik untuk negara, dengan republik itu melancarkan Misi AI kebangsaan yang baharu untuk memacu transformasi berasaskan AI dalam sektor-sektor utama, termasuk pembuatan termaju, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.

“Kita akan menubuhkan Majlis AI Kebangsaan baharu, yang akan saya pengerusikan untuk memberi hala tuju strategik dan memacu agenda AI Singapura.”

“Selain itu, kita akan melancarkan program Juara AI baharu untuk menyokong syarikat yang bercita-cita menggunakan AI bagi mentransformasikan perniagaan mereka secara komprehensif,” tambah Wong.

Dalam menangani tekanan kos sara hidup, Wong berkata kerajaan akan terus membantu rakyat Singapura mengurus tekanan itu dengan menyediakan Bayaran Khas Kos Sara Hidup sebanyak S$200 hingga S$400 secara tunai kepada warga Singapura yang layak yang berpendapatan sehingga S$100,000.

“Yang kedua, akan terdapat rebat U-Save tambahan untuk membantu isi rumah dengan perbelanjaan utiliti mereka. Isi rumah HDB yang layak akan menerima 1.5 kali ganda jumlah rebat U-Save biasa, atau sehingga S$570 bagi tahun kewangan ini.

“Ketiga, saya akan menyediakan tambahan S$500 dalam bentuk Baucar CDC untuk semua isi rumah Singapura pada Januari 2027,” katanya.

Mengenai semakan cukai, Wong berkata kerajaan akan menyediakan rebat Yuran Pendaftaran Tambahan Pilihan (PARF) untuk kereta yang dibatalkan pendaftarannya sebelum tahun ke-10.

Beliau berkata memandangkan kenderaan elektrik menjadi semakin lumrah, keperluan untuk menggalakkan pembatalan pendaftaran awal melalui rebat PARF dikurangkan.

“Saya akan mengurangkan rebat PARF sebanyak 45 mata peratus. Saya juga akan menurunkan had maksimum rebat PARF daripada S$60,000 kepada S$30,000,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan