WILAYAH - TENGAH > BERITA

POLIS RAMPAS VAPE, CECAIR BERNILAI LEBIH RM8.8 JUTA

16/02/2026 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Polis merampas rokok elektronik dan peranti vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 10 Feb lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Fisol Salleh berkata operasi mega itu dijalankan di 154 lokasi sasaran dengan kekuatan 2,140 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata 141 premis perniagaan rokok elektronik diperiksa melibatkan 199 kes dan pihaknya turut merampas lebih 959 liter cecair vape serta 83,289 unit peranti. 

“Lain-lain rampasan termasuk aksesori peranti, bateri, perkakas jualan dan rokok haram bernilai RM67,596,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Fisol berkata 181 individu diperiksa dan empat tangkapan dibuat membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita.

“Dua tangkapan melibatkan rakyat tempatan iaitu seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Tangkak, Johor serta seorang wanita dewasa yang dikehendaki polis berkait kesalahan Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Ipoh, Perak.

“Dua lagi tangkapan melibatkan warga asing iaitu seorang lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tiada dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata operasi itu antara lain bertujuan mengurangkan ketirisan hasil negara akibat aktiviti pasaran gelap serta menangani isu pengedaran rokok elektronik tidak berdaftar khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar.

Operasi diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) itu melibatkan Briged Utara, Briged Tengah, Briged Tenggara, Briged Sarawak dan Briged Sabah PGA selain Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Turut terlibat petugas Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan