KUANTAN, 19 Feb (Bernama) -- Seorang pekerja swasta kerugian lebih RM600,000 akibat terperdaya skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi laman sosial.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki tempatan berusia 57 tahun itu yang tertarik dengan tawaran lumayan skim pelaburan itu dipercayai telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan yang kemudian memaparkan keuntungan kononnya meningkat sehingga mencecah RM1.84 juta termasuk komisen pelaburan.
“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin mengeluarkan semula wang pelaburan berserta keuntungan yang dipaparkan, suspek memberi pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum proses pengeluaran boleh dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa membuat empat transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza dari 9 Jan hingga 11 Feb menggunakan simpanan peribadi serta pinjaman ahli keluarga, menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM636,123.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.
"Mangsa penipuan juga dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial