WILAYAH - SABAH > BERITA

LIGA SUPER: SABAH FC BERDEPAN KRISIS KECEDERAAN, TETAP OPTIMIS HADAPI JDT

21/02/2026 06:37 PM

KOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) -- Sabah FC yang menghadapi krisis kecederaan pemain tetap optimis menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium Likas di sini malam esok.

Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus yakin kelebihan beraksi di laman sendiri memberikan suntikan semangat tambahan kepada skuad The Rhinos untuk mencatat keputusan positif.

Beliau berkata empat pemain Sabah FC, iaitu Miguel Cifuentes, Gabriel Peres, Duje Ljubic dan Shahrol Nizam Abd Rahman tidak dapat beraksi atas faktor kecederaan manakala Kervens Belfort dan Chris-Marlon Ondong-Mba belum berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Cifuentes disahkan perlu berehat kira-kira dua minggu selepas mengalami keretakan kaki ketika aksi pusingan pertama menentang PDRM FC dalam saingan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Gabriel masih berada dalam fasa pemulihan dan Duje belum mencapai tahap kecergesan optimum dan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.

“Barisan kejurulatihan akan membuat penilaian akhir menjelang hari perlawanan yang menentukan kesediaan mereka untuk diturunkan,” kata Alto menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Sabah FC mengharapkan kehadiran penyokong setia di Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam memburu keputusan positif ke atas JDT.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan