
Tahun lalu, tular satu klip video seorang wanita menerjah majlis pernikahan bekas suaminya di sebuah masjid, yang menurut wanita itu dilakukan dalam usahanya menuntut nafkah dua anak perempuan mereka.
Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Nurin Alisa itu mendakwa dia terpaksa bertindak sedemikian kerana bekas suaminya gagal memberi kerjasama untuk hadir di mahkamah bagi menyelesaikan isu tersebut.
Klip video wanita ini yang tular, sekali lagi membawa perhatian masyarakat Islam kepada isu tidak bernoktah, iaitu kegagalan golongan bapa melunaskan tanggungjawab terhadap anak selepas perceraian, khususnya dalam pemberian nafkah, sekalipun perkara itu diwajibkan oleh agama dan dilaksanakan menerusi undang-undang syariah di Malaysia.
Dalam polemik itu, timbul pertanyaan sejauh mana keberkesanan sistem perundangan sedia ada dalam melindungi hak anak, terutamanya dari segi penguatkuasaan, kerana bukan sekali dua kes seperti Nurin Alisa yang mengambil tindakan sendiri bagi memburu bekas suami culas nafkah anak, dilaporkan atau ditularkan.
KEWAJIPAN YANG DITUNTUT
Berkongsi pandangan, pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Selangor Dr Azizah Mohd Rapini berkata nafkah anak, sama ada dalam tempoh perkahwinan ataupun selepas perceraian, merupakan kewajipan yang dituntut oleh Islam dan ditekankan dalam al-Quran.
“Kewajipan ini disebut secara jelas dalam al-Quran, khususnya dalam Surah al-Baqarah, ayat 233, yang menegaskan bahawa bapa bertanggungjawab menyediakan nafkah untuk anak.
“Peranan bapa dalam ayat tersebut dilihat secara menyeluruh, meliputi pelbagai aspek kehidupan anak termasuk keperluan makanan, pakaian dan pendidikan. Kesemua tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan,’’ katanya kepada Bernama.
pic-2
Beliau berkata dari sudut perundangan Islam di Malaysia, perceraian tidak memutuskan tanggungjawab bapa terhadap anaknya yang wajib ditanggung hingga berusia 18 tahun, dan perintah mahkamah boleh dilanjutkan melangkaui usia itu sekiranya si anak masih belajar atau mengalami kurang upaya.
Tanggungjawab itu merangkumi keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian dan pendidikan.
“Masyarakat perlu memahami bahawa nafkah anak tidak boleh berubah hanya kerana perubahan dalam kehidupan peribadi bapa. Misalnya, jika seorang bapa berkahwin lain dan mempunyai keluarga baharu, pertambahan tanggungan tidak boleh dijadikan alasan untuk dia mengurangkan nafkah anak daripada perkahwinan terdahulu.
“Situasi ini sering menjejaskan kesejahteraan anak. Misalnya, jika sebelum perceraian seorang bapa memperuntukkan nafkah untuk seorang anak sebanyak RM2,000 sebulan termasuk pendidikan, pakaian dan keperluan harian… jumlah tersebut tidak wajar dikurangkan selepas dia membina keluarga baharu, katanya.
Sebaliknya, kata beliau, nafkah anak seharusnya ditingkatkan selaras dengan pertambahan usianya, bermula dari peringkat bayi hingga kanak-kanak dan seterusnya remaja, mengikut perubahan serta peningkatan keperluan mereka dari semasa ke semasa.
Katanya jumlah nafkah juga harus disesuaikan dengan situasi semasa, mengambil kira antaranya peningkatan kos sara hidup dan rawatan kesihatan.
“Dalam keadaan anak sakit dan memerlukan rawatan, tanggungjawab tersebut tetap terletak di bahu bapa. Malah, kewajipan itu tidak terjejas walaupun ibu bekerja atau mempunyai pendapatan lebih tinggi.
“Selain itu, masyarakat Islam juga perlu memahami situasi apabila seorang anak tidak mempunyai bapa, sama ada kerana meninggal dunia, hilang atau tidak berkeupayaan bekerja akibat sakit, tanggungjawab nafkah akan beralih kepada waris lelaki di sebelah bapa mengikut kemampuan masing-masing, seperti datuk dan adik-beradik lelaki bapa atau saudara lelaki sebapa,” katanya.
JUMLAH TUNTUTAN
Sementara itu, peguam Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi berkata undang-undang syariah di negara ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dengan setiap negeri mempunyai enakmen atau akta sendiri bagi mentadbir urusan berkaitan mahkamah syariah masing-masing.
pic-3
Beliau berkata meskipun terdapat perbezaan dari segi peruntukan, kandungan undang-undang setiap negeri secara umumnya adalah hampir sama termasuk peruntukan mengenai kewajipan seorang bapa dalam menafkahi anak-anak.
“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, pentadbiran hal ehwal Islam termasuk perkahwinan, perceraian, pewarisan dan pentadbiran harta dikawal selia di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
“Secara prinsipnya, undang-undang syariah jelas meletakkan tanggungjawab nafkah anak di bahu bapa. Bapa wajib menyediakan keperluan asas seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan mengikut kemampuan. Sekiranya bapa tidak berkemampuan, tanggungjawab tersebut boleh berpindah kepada waris sebelah bapa mengikut susunan wali,’’ katanya.
Siti Hajar Aisyah berkata bagaimanapun dalam menentukan jumlah nafkah, mahkamah syariah dilihat cenderung mengambil pendekatan wasatiyyah atau seimbang, dengan meneliti fakta kes termasuk pendapatan bapa, jumlah tuntutan ibu serta keperluan sebenar anak-anak.
Jumlah nafkah yang diputuskan juga tidak bersifat tetap kerana bergantung pada keadaan setiap kes, dengan sesetengah kes mahkamah tegas mengekalkan jumlah tuntutan (bekas isteri) sekiranya didapati munasabah, sekali gus mewajibkan bapa mencari sumber kewangan tambahan bagi mematuhi perintah tersebut.
“Sebagai contoh, jika ibu menuntut RM3,000 sebulan dan mahkamah berpuas hati bahawa jumlah itu wajar, perintah tersebut akan dikeluarkan walaupun bapa perlu mencari sumber pendapatan tambahan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
“Namun, terdapat juga keadaan di mana mahkamah mengambil pendekatan pertengahan, iaitu sekiranya tuntutan dianggap terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan bapa yang mempunyai komitmen lain, mahkamah mungkin hanya meluluskan jumlah bagi menampung keperluan asas anak. Walaupun pendekatan ini dilihat lebih praktikal, ada kalanya menimbulkan rasa tidak adil bagi pihak ibu yang terpaksa menampung baki perbelanjaan,” katanya.
TUNTUTAN SUKAR DIPENUHI
Mengulas lanjut, Siti Hajar Aisyah berkata antara cabaran utama yang dihadapi oleh si ibu dalam kes tuntutan nafkah anak adalah untuk membuktikan kemampuan kewangan sebenar bapa, terutamanya jika si bapa tidak telus dalam mendedahkan pendapatan dan perbelanjaannya.
“Dalam kebanyakan situasi, bapa akan memfailkan bantahan terhadap jumlah tuntutan dengan alasan tidak berkemampuan, manakala ibu pula berdepan kesukaran untuk mendapatkan bukti seperti penyata gaji, rekod keuntungan perniagaan atau maklumat kewangan lain.
“Keadaan menjadi lebih rumit apabila melibatkan bapa yang tidak bekerja. Dalam situasi ini, hakim mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk memaksa seseorang mendapatkan pekerjaan. Mahkamah hanya boleh menetapkan perintah berdasarkan kadar minimum yang munasabah mengikut keperluan asas anak,” katanya.
Beliau berkata sekiranya bapa atau waris tidak berkemampuan, ibu terpaksa memikul sepenuhnya tanggungjawab menyara anak-anak, dan dalam situasi ini, bapa dan waris akan terlepas daripada menafkahi anak.
Namun dalam apa juga keadaan, matlamat utama sistem perundangan syariah adalah untuk memastikan kebajikan anak terpelihara tanpa menzalimi mana-mana pihak.
pic-4
“Realitinya, isu nafkah anak bukan sekadar soal angka atau peruntukan undang-undang, tapi melibatkan soal tanggungjawab, kejujuran, kemampuan dan kebajikan anak yang seharusnya menjadi keutamaan.
“Selagi wujud jurang maklumat, ketidaktelusan kewangan dan ketiadaan kesedaran terhadap tanggungjawab sebenar, isu nafkah anak akan terus menjadi cabaran yang memerlukan perhatian serius semua pihak, bukan sahaja di pihak mahkamah tetapi juga dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.
HUKUMAN RINGAN
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Siti Hajar Aisyah berkata apabila seseorang bapa gagal mematuhi perintah nafkah yang telah dikeluarkan, perbuatan itu dianggap sebagai ingkar terhadap perintah mahkamah atau merupakan bentuk penghinaan terhadap mahkamah, dan si bapa boleh dikenakan tindakan komital atau hukuman penjara.
Namun, bagi mendapatkan perintah komital tersebut, si ibu perlu memfailkan permohonan baharu yang memerlukan dia menanggung kos guaman serta perbelanjaan tambahan lain.
“Ibu juga terpaksa melalui tempoh menunggu yang agak panjang sehingga proses itu selesai. Selepas perintah komital diperoleh, hukuman penjara yang dijatuhkan pula kebiasaannya tidak lama…ada yang hanya beberapa hari dan maksimum hingga enam bulan.
“Sekiranya selepas dikenakan hukuman komital (penjara) si bapa masih terus culas, ibu perlu mengemukakan semula permohonan komital tersebut berulang kali sehingga bapa mematuhi perintah dan membayar nafkah yang dituntut,” katanya, menambah kesemua itu bukan sahaja menghabiskan masa dan tenaga si ibu berulang-alik ke mahkamah tetapi juga menyebabkan dia menanggung kos guaman yang tinggi.
Pun begitu, selain perintah komital, bapa yang culas membayar nafkah anak juga boleh berdepan tindakan undang-undang lain, iaitu perintah hiwalah (garnishee) serta penyitaan dan penjualan harta.
Hiwalah digunakan untuk membekukan dan memindahkan wang daripada akaun bank bekas suami kepada bekas isteri bagi menyelesaikan nafkah anak yang tertunggak.
pic-5
Perintah hiwalah merujuk permohonan bagi membekukan akaun bank pihak yang berhutang, namun dalam amalan semasa, bank-bank komersial di Malaysia tidak akan melaksanakan pembekuan akaun hanya berdasarkan perintah mahkamah syariah.
“Sebaliknya, pembekuan akaun biasanya memerlukan permohonan melalui mahkamah sivil. Proses ini bukan sahaja rumit, malah mengambil masa yang panjang sebelum tindakan itu dapat dilaksanakan.
“Selain itu, tindakan penyitaan dan jualan harta juga merupakan satu proses permohonan baharu yang perlu dilakukan oleh ibu. Dalam banyak keadaan, penyitaan tidak berjaya kerana pihak bapa telah melupuskan aset atau memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan tindakan tersebut,’’ tambahnya.
Tahun lalu, kerajaan melalui Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, mengumumkan sedang mempergiat usaha merangka mekanisme penyitaan akaun bank terhadap bekas suami yang gagal atau culas membayar nafkah.
Inisiatif itu melibatkan pengukuhan pelaksanaan perintah mahkamah syariah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus menjamin hak nafkah anak-anak dan isteri terus terpelihara.
Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 4,715 kes pelanggaran perintah nafkah oleh suami atau bapa culas, direkodkan oleh mahkamah syariah bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Pada 2021, sebanyak 1,571 kes didaftarkan dengan 872 kes berjaya diselesaikan, manakala pada 2022, sebanyak 1,600 kes direkodkan, dan daripada jumlah tersebut 1,096 kes berjaya diselesaikan.
Bagi 2023 pula, sebanyak 1,844 kes didaftarkan dengan 1,102 kes berjaya diselesaikan. Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga November 2024, sebanyak 1,076 kes berjaya diselesaikan daripada 1,865 kes yang didaftarkan.
REFORMASI PERUNDANGAN ISLAM
Dalam pada itu, Siti Hajar Aisyah turut mengakui pelaksanaan tuntutan perintah nafkah anak di negara ini masih berdepan pelbagai kesukaran, antaranya disebabkan oleh bidang kuasa perundangan syariah yang tidak seragam.
pic-6
Keadaan ini menyebabkan wujud perbezaan dari segi pelaksanaan antara negeri, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Isu itu dirumitkan lagi oleh kelemahan penguatkuasaan terhadap bapa yang gagal mematuhi perintah mahkamah syariah walaupun ada peruntukan undang-undang.
“Di mata masyarakat, pelaksanaan perintah nafkah ini sering dilihat lemah dan kurang berkesan. Proses yang terlalu banyak dan berlapis-lapis menyebabkan golongan ibu yang menuntut nafkah terpaksa menanggung beban dari segi kewangan, masa dan emosi.
“Akhirnya, ada antara mereka yang berputus asa dan memilih untuk tidak meneruskan tuntutan kerana perjalanan kes yang panjang, berulang-ulang serta kemungkinan berakhir tanpa penyelesaian yang memuaskan,” katanya.
Apabila undang-undang syariah diselaraskan, hukuman akan dapat dilaksanakan dengan lebih tegas sekali gus meningkatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini.
Sistem permohonan dan pengurusan tuntutan itu juga wajar ditambah baik supaya kes tidak mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan bagi memastikan hak anak dan ibu terus terpelihara.
Pada masa sama, sistem kehakiman mahkamah syariah juga perlu dinilai semula dari segi kecekapan pentadbiran, kerana ketika ini pemohon perlu membuka fail berasingan bagi setiap tuntutan seperti nafkah, hadanah, mutaah dan harta sepencarian.
Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan kos guaman, malah memanjangkan tempoh penyelesaian bagi satu-satu kes, katanya.
“Pengamal undang-undang sendiri mengakui wujudnya kepincangan dalam sistem sedia ada yang dilihat lambat, rumit dan membebankan. Namun, usaha pembaharuan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kajian menyeluruh bagi mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk membaiki kelemahan tersebut.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan institusi mahkamah syariah terus diperkasa dan diyakini masyarakat serta tidak dilihat sebagai sistem yang membebankan atau menindas golongan wanita, khususnya ibu tunggal. Reformasi yang menyeluruh mampu meningkatkan keadilan, kecekapan dan kepercayaan terhadap sistem kehakiman syariah pada masa depan,” tegasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial