WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM PERLU IMBANGI TINDAKAN PUNITIF DAN PENCEGAHAN UNTUK PERANGI RASUAH - MCW

26/02/2026 11:37 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengekalkan keseimbangan antara tindakan punitif yang tegas dengan pendekatan pencegahan bagi memastikan usaha memerangi rasuah di negara ini mencapai keberkesanan jangka panjang.

Pengasas merangkap Timbalan Presiden 2 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Profesor Datuk GP Doraisamy berkata walaupun tindakan punitif menerusi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di mahkamah adalah fungsi utama SPRM, aspek bukan punitif (pencegahan) pula kritikal bagi menyuntik keinsafan serta mengubah jati diri masyarakat.

Beliau berkata tindakan punitif semata-mata tidak memadai untuk menghapuskan amalan rasuah sekiranya ia tidak diimbangi dengan elemen pengajaran yang mampu mengubah pemikiran dan sanubari individu.

"Kita perlu ada keseimbangan... punitif adalah satu kaedah untuk membawa pesalah ke muka pengadilan tetapi adakah itu sahaja akan menutup terus peluang rasuah... saya rasa tidak.

"Oleh itu, pendekatan bukan punitif menerusi pendidikan dan kesedaran amat penting untuk membina kematangan berfikir dalam kalangan rakyat agar mereka benar-benar memahami kesan buruk rasuah," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang bersiaran secara langsung di Bernama TV malam ini.

Mengulas dakwaan kononnya tindakan SPRM kebelakangan ini bersifat terpilih atau bermotifkan politik, Doraisamy berkata agensi antirasuah itu bertindak secara profesional dan mengikut standard antarabangsa.

Beliau berkata setiap tindakan tegas yang diambil terhadap mana-mana individu atau pihak pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi namun masyarakat perlu melihatnya daripada perspektif yang lebih luas dan bukannya secara miopik.

"SPRM melakukan kerja mereka untuk membanteras rasuah... apabila tindakan diambil, sudah tentu ada pihak yang akan berasa terkena dan timbul perasaan tidak puas hati...di sinilah pentingnya kematangan berfikir rakyat untuk menilai sesuatu isu tanpa terpengaruh dengan emosi atau hasutan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri," katanya.

Doraisamy turut menyeru agar ahli politik di Malaysia melengkapkan diri dengan ilmu pencegahan rasuah dan tidak mempergunakan isu berkaitan penguatkuasaan demi kepentingan populariti semata-mata.

Beliau juga berkata MCW komited untuk terus menjadi “mata dan telinga” kepada SPRM dalam menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan salah laku rasuah di peringkat akar umbi.

"Kami di MCW bekerjasama rapat dengan SPRM sejak sekian lama... walaupun kami tidak mempunyai kuasa eksekutif, kami berperanan membantu menyampaikan maklumat daripada masyarakat kepada pihak berkuasa sebagai usaha bersama membersihkan negara daripada gejala ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan