KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 115 syarikat akan diiktiraf sebagai kilang pintar menjelang hujung tahun ini menerusi program Smart Tech Up, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Setakat Januari 2026, sebanyak 30 kilang telah dikenal pasti sebagai kilang pintar, manakala 71 daripada 241 syarikat yang mendaftar ke dalam program itu sedang menjalani beberapa peringkat pelaksanaan ke arah transformasi menjadi kilang pintar, katanya.
"Program itu adalah lanjutan dan penambahbaikan kepada Dasar Industry4WRD untuk meningkatkan keupayaan teknologi dan kesiapsiagaan digital industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pertengahan, serta untuk menyokong pewujudan 3,000 kilang pintar menjelang tahun 2030.
"Program ini menyediakan sokongan dari segi bimbingan, penilaian, latihan, teknologi, dan pembiayaan bagi meningkatkan produktiviti, kualiti produk, dan daya saing syarikat di pasaran tempatan serta global," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai langkah konkrit kerajaan dalam mempercepat penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam sektor strategik bagi meningkatkan daya saing global dan produktiviti negara.
Selain itu, bagi mempercepatkan pencapaian sasaran kilang pintar, MITI berkata pihaknya telah memperkenalkan program pengiktirafan kilang pintar bagi mengiktiraf syarikat pembuatan termasuk sektor automotif yang telah berjaya mengintegrasikan teknologi Industri 4.0 dan proses automasi dalam operasi mereka.
Setakat Januari, 2026, sebanyak 18 syarikat telah mendapat penarafan kilang pintar melalui program pengiktirafan ini.
"Secara keseluruhannya melalui program-program yang telah dirancang, sebanyak 48 syarikat telah diberi penarafan kilang pintar sehingga Januari 2026," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial