WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERBICARAAN TUJUH PEMAIN WARISAN DI CAS AWAL PAGI INI, KEPUTUSAN DIJANGKA AMBIL MASA

26/02/2026 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Tempoh 12 jam akan datang menjadi detik penentu buat tujuh pemain warisan dan hala tuju pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan itu susulan kes membabitkan pemain berkenaan memasuki fasa baharu dengan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Berdasarkan maklumat yang dimuat naik di laman rasmi CAS, sesi perbicaraan akan berlangsung di ibu pejabat badan berkenaan di Lausanne, Switzerland pada 12 tengah malam ini waktu Malaysia.

Pakar perundangan sukan Richard Wee berpendapat prosiding itu mungkin selesai pada hari yang sama namun keputusan rasmi dijangka hanya diketahui dalam tempoh beberapa hari.

“Kemungkinan keputusan diputuskan pada hari yang sama tidak semestinya akan berlaku sebab kadang-kadang, hakim arbitrasi mengambil masa untuk mendengar kes terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, ia akan mengambil beberapa hari atau minggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John turut melontarkan pendapat sama ketika dihubungi.

"Berdasarkan pengalaman kami, terdapat keputusan yang dikeluarkan dalam tempoh dua hingga tiga hari dan ada juga yang dikeluarkan kemudian," katanya.

Pada Disember lepas, FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Sebelum itu pada September, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Bagaimanapun, pada 27 Jan lepas, FAM memaklumkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu yang dikemukakan olhe pemain terbabit, menyaksikan mereka dibenar meneruskan karier dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan