WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NSRC BEKU RM2.4 BILION WANG MANGSA PENIPUAN SEPANJANG JANUARI 2026

26/02/2026 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima 19,438 panggilan berkaitan penipuan dalam talian sepanjang Januari lepas, dengan RM2.408 bilion wang mangsa berjaya dibekukan sebelum sempat dilesapkan oleh penjenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM321.3 juta atau 13 peratus berjaya dipulangkan semula kepada mangsa melalui proses pemulangan.

“Walaupun peratusannya kecil, namun data ini menekankan betapa pentingnya tindakan pantas mangsa melaporkan kes dalam "tempoh emas" kurang daripada 24 jam.

“Ini maklumat yang perlu kita sebar luas. Mereka yang terlibat menjadi mangsa, laporkanlah dalam tempoh 24 jam bagi memastikan wang sekurang-kurangnya dapat disekat, walaupun proses untuk mendapatkannya semula mengambil masa yang agak lama,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang bertanya mengenai usaha menangani sindiket akaun keldai melalui kawalan aliran keluar wang secara berfasa.

Shamsul Anuar berkata sekiranya laporan dikemukakan lewat, kebarangkalian untuk dana itu berjaya disekat adalah lebih rendah kerana wang berkenaan lazimnya telah dipindah atau dikeluarkan secara berlapis-lapis oleh sindiket.

“Sebab itu kami harap dalam tempoh 24 jam tadi. Sekiranya mangsa segera membuat laporan sebaik sahaja menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan terus menghubungi talian 997 tadi, peluang untuk dana itu dikenal pasti, dijejaki dan disekat adalah lebih tinggi,” katanya.

Menurut Shamsul Anuar, keupayaan NSRC telah diperkukuh melalui penubuhan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) bagi mempercepat penjejakan dana dan pengesanan akaun keldai, termasuk melalui penyepaduan data serta penggunaan analitik ramalan.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan orang ramai supaya merujuk kepada senarai amaran pengguna kewangan Bank Negara Malaysia, senarai peringatan pelaburan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta portal Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membuat sebarang pemindahan wang dan pelaburan.

Dalam pada itu, Shamsul berkata sejumlah 218,307 akaun dikenal pasti bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan 46,433 akaun direkodkan (2023), 51,302 akaun (2024) dan meningkat sebanyak 70 peratus kepada 87,209 (2025).

“Ini mencerminkan pengesanan dan tindakan penguatkuasaan yang semakin diperkukuhkan dalam usaha membanteras penyalahgunaan akaun bank bagi tujuan jenayah penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata PDRM sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau penyelia akaun keldai, termasuk tangkapan, siasatan, pendakwaan serta pembekuan akaun dan penyitaan harta selaras dengan undang-undang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan