WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KADAR KESUBURAN SINGAPURA MENURUN KE TAHAP TERENDAH PADA 2025

26/02/2026 09:04 PM

SINGAPURA, 26 Feb (Bernama) -- Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Singapura menurun secara mendadak kepada paras terendah baharu 0.87 pada 2025 daripada 1.24 sedekad lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.

Beliau berkata TFR 0.87 bermakna setiap 100 penduduk kini diunjurkan hanya mempunyai 44 anak dan 19 cucu untuk generasi ketiga.

“Tahun lepas, kita menyambut 27,500 bayi penduduk. Ini sebenarnya angka kelahiran paling rendah pernah direkodkan dalam sejarah kita.

“Kadar perkahwinan telah turun dan mereka yang sudah berkahwin mempunyai bilangan anak lebih rendah atau tiada anak,” katanya semasa bahas Jawatankuasa Perbekalan 2026 di Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu, Gan juga menyatakan bahawa penduduk republik itu menua lebih cepat berbanding sebelum ini, dengan generasi baby boomer kini berusia 60-an dan lebih tua.

“Tahun lepas, satu daripada lima warganegara berumur 65 tahun ke atas, berbanding satu daripada lapan pada 2015. Ini cabaran yang wujud," katanya.

Menurut Gan, kadar pertumbuhan penduduk Singapura perlahan sepanjang sedekad walaupun berlaku imigrasi, jatuh daripada purata 0.9 peratus setahun dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, kepada 0.8 peratus setahun dari 2020 hingga 2025.

Pada 2025, kadar pertumbuhan penduduk hanya meningkat pada 0.7 peratus, katanya.

“Kurangnya kelahiran hari ini bermakna semakin kurang golongan muda dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang. Jika tiada langkah baharu diambil, populasi rakyat kita akan mula menyusut pada awal 2040-an," kata Gan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan