KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan awal pentadbir yang dilantik oleh mahkamah untuk menguruskan pusaka bernilai RM1.6 bilion milik mendiang Lim Siew Kim, anak ketiga pengasas Genting Tan Sri Lim Goh Tong.
Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan yang memihak kepada Marcus Chan Jau Chwen, anak lelaki Siew Kim dan cucu jutawan industri hiburan itu, dalam kes yang difailkan oleh anak-anak Siew Kim mengenai pusaka bernilai RM1.6 bilion tersebut.
Beliau berkata hujah peguam B. Thangaraj, yang mewakili pentadbir dilantik mahkamah untuk menguruskan pusaka berkenaan, adalah tidak tepat kerana Marcus bergantung pada bukti dan dokumen yang telah dikemukakan di mahkamah bahawa beberapa pembayaran tidak dibuat daripada akaun amanah seperti yang diperuntuk dalam perintah mahkamah.
“Ini adalah hujah berdasarkan dokumen yang telah direkodkan, jadi ia bukan pengenalan bukti baharu... mahkamah tidak akan membenarkan fakta baharu diperkenal melalui hujahan... bantahan ini tidak tepat dan justeru itu, ditolak,” katanya.
Selepas keputusan hari ini, pihak-pihak akan meneruskan pendengaran permohonan bagi menyingkirkan dua pentadbir dilantik oleh mahkamah untuk mengawasi pusaka itu, yang dijadualkan bersambung pada 4 Mac depan.
Siew Kim, yang meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 ketika berusia 73 tahun, meninggalkan tiga anak perempuan serta seorang anak lelaki, dan sejak itu pusaka diuruskan oleh pentadbir pendente lite susulan pertikaian keluarga mengenai kesahihan wasiatnya.
Pada 27 Nov 2023, Mahkamah Tinggi telah melantik peguam Datuk Satharuban Sivasubramaniam dan Khoo Siew Kiat sebagai pentadbir bagi mengawasi pusaka itu.
Mereka mengambil alih pentadbiran selepas dua anak perempuan Siew Kim, iaitu Chan T’shiao Li dan Kimberly Chan T’shiao Miin, memfailkan saman probet pada 19 Jan 2023 bagi mencabar kesahihan wasiat yang dikatakan telah dibuat pada 28 April tahun lepas.
Marcus, satu-satunya anak lelaki Siew Kim dan penerima 30 peratus daripada baki pusaka, kini memohon untuk menyingkirkan kedua-dua pentadbir atas alasan berlaku salah laku dan ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah dalam pelantikan pentadbir.
Antaranya beberapa pembayaran didakwa dibuat kepada peguam dan pihak lain daripada akaun bank individu dan bukannya akaun amanah selain dana pusaka telah berkurangan akibat pembayaran yang salah serta pentadbir telah campur tangan dalam pengurusan syarikat yang berkaitan dengan pusaka.
Beliau juga mendakwa pentadbir hampir menyebabkan pusaka membayar sebanyak RM4.73 juta untuk penilaian bagi pihak Prominview Sdn Bhd walaupun tanggungjawab itu sepatutnya terletak pada rakan usaha sama.
Aduan lain ialah membuat kaveat persendirian dan menjalankan penilaian hartanah walaupun tiada kuasa untuk mengagih atau melupuskan aset pusaka.
Pada 23 Jan 2026, Marcus memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang pentadbir daripada bertindak bagi pihak pusaka sehingga permohonan untuk menyingkirkan mereka diputuskan.
Marcus diwakili oleh peguam Goik Kenwayne, Foong Kar Yee dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial