WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1,284 PREMIS DIPERIKSA, KPDN SELANGOR KESAN 67 KES PENIAGA LANGGAR PERATURAN

26/02/2026 09:53 PM

SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesan 67 kes membabitkan peniaga gagal mematuhi peraturan di bawah pelbagai akta penguatkuasaan sepanjang lapan hari pelaksanaan Ops Pantau 2026, bermula 19 Feb lepas. 

Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata tindakan itu hasil pemeriksaan di 1,284 premis di seluruh negeri melibatkan pelbagai lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

Beliau berkata kes yang direkodkan melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebanyak 35 kes, Akta Timbang dan Sukat 1972 (26 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (tiga kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (dua kes) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (satu kes).

“Jenis kesalahan yang dikesan termasuk tiada tanda harga, gagal mempamerkan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, penandaan harga mengelirukan, tidak mempunyai permit barangan kawalan berjadual serta menjual barangan menggunakan cap dagang tidak sah.

“KPDN Selangor ingin menegaskan pemeriksaan di bawah Ops Pantau akan diteruskan sehingga Aidilfitri dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya selepas membuat pemantauan dan tindakan di bazar Ramadan Stadium Seksyen 13 Shah Alam hari ini.

Bagi meningkatkan penguatkuasaan, KPDN Selangor turut menggunakan Van STAR Pengguna (Skuad Tindakan Aduan Resolusi Pengguna) di lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan bagi memudahkan pengguna membuat aduan secara langsung. 

“Van berkenaan berfungsi sebagai kaunter bergerak bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat secara terus kepada pihak kementerian, sekali gus membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya. 

Sementara itu, Muhamad Hanif berkata KPDN Selangor dengan kerjasama penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menganjurkan 16 Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negeri berkenaan, yang menawarkan Menu Rahmah dengan harga berpatutan. 

“Selain itu, BRR Negeri Selangor juga akan memperkenalkan dua inisiatif baharu KPDN, iaitu Ihsan Food Bank (I-FB) untuk mengurangkan pembaziran makanan dan inisiatif PATUH bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang di bawah seliaan KPDN,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan