WILAYAH - SARAWAK > BERITA

350 PENUNGGANG E-HAILING LEMBAH PANTAI TERIMA TAJAAN INSURANS RAMADAN

27/02/2026 12:50 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Seramai 350 penunggang e-hailing di kawasan Lembah Pantai menerima rezeki luar jangka pada bulan Ramadan apabila Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan tajaan premium insurans di bawah skim Perlindungan Tenang selama setahun.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata tajaan insurans itu membuktikan Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap masa depan pekerja ekonomi gig, termasuk penunggang e-hailing.

“Ini juga sebagai tanda penghargaan saya kepada para riders yang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dianggap frontliners. Saya tidak lupa akan sumbangan mereka hingga kini,” katanya selepas merasmian Program Satelit Khas: Ihya Ramadan TemuMi 2.0 2026@Lembah Pantai, di sini hari ini.

Beliau berkata selepas tempoh tajaan setahun berakhir, penunggang boleh menyambung perlindungan tersebut dengan bayaran RM100 setahun.

Selain itu, Fahmi turut berhasrat mewujudkan sebuah pusat persinggahan khas buat penunggang e-hailing di sekitar Lembah Pantai bagi membolehkan mereka berehat sementara menunggu tempahan seterusnya.

“Saya juga bercadang menubuhkan satu tempat persinggahan bagi para penunggang kerana aduan mereka berkaitan waktu rehat. Kadang-kadang mereka memerlukan ruang untuk menarik nafas sementara menunggu pesanan yang akan datang. Insya-Allah, usaha ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata beberapa lokasi telah dikenal pasti dan pihaknya akan berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti aspek pelaksanaan, termasuk sama ada struktur kekal atau sementara boleh didirikan.

Terdahulu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penunggang e-hailing yang hadir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan