KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berusaha mencapai sasaran ‘sifar buli’ menerusi pelaporan yang telus dan langkah pencegahan lebih ketat.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata matlamat penghapusan sepenuhnya kekal kritikal walaupun kes menurun daripada 7,681 pada 2024 kepada 2,889 pada 2025.
Lee berkata pentadbiran sekolah mesti menghentikan perbuatan menyembunyikan insiden buli bagi melindungi reputasi mereka, sambil menegaskan kegagalan melaporkan kes menghalang pihak berkuasa memahami tahap sebenar keseriusan isu itu.
“Adalah penting supaya sekolah tidak menyembunyikan kes buli. Saya dimaklumkan terdapat sekolah yang mengalami insiden ini tetapi gagal melaporkannya kerana bimbang terhadap kesan kepada nama baik dan reputasi sekolah.
“Sikap ini adalah salah, setiap kes mesti dilaporkan supaya pentadbiran memahami tahap keseriusan isu ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata strategi pencegahan yang kukuh bagi membanteras buli di sekolah, dengan gabungan pemantauan, sokongan profesional dan keberanian pelajar adalah penting untuk mencapai persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.
Ini termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik, penambahan bilangan kaunselor terlatih dan penguatkuasaan tindakan disiplin yang tegas mengikut garis panduan KPM serta pelantikan warden untuk menjalankan rondaan lebih kerap, khususnya di sekolah berasrama penuh.
Lee turut mencadangkan supaya murid tidak kekal sebagai pemerhati yang berdiam diri, sebaliknya mempunyai keberanian untuk tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap sebarang perbuatan keganasan di dalam bilik darjah.
“Pelajar mesti melaporkan kepada guru atau guru disiplin. Mereka perlu memandang serius isu ini kerana buli adalah satu bentuk keganasan yang tidak sepatutnya dibenarkan dalam persekitaran pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin menyifatkan pengurangan kes sebagai sesuatu yang menggalakkan kerana ia mungkin mencerminkan kesan positif garis panduan yang lebih ketat, pengawasan yang dipertingkat dan kesedaran yang lebih tinggi di sekolah.
Beliau bagaimanapun berkata data setahun adalah tidak mencukupi untuk mengesahkan trend penurunan yang berterusan dan memberi amaran kemungkinan pelaporan yang tidak lengkap susulan kebimbangan terhadap reputasi sekolah tidak boleh diketepikan.
“Walaupun pengurangan itu boleh menunjukkan penambahbaikan yang tulen, kemungkinan pelaporan yang tidak lengkap tidak harus diabaikan. Ketakutan, stigma atau kebimbangan terhadap reputasi sekolah mungkin menjejaskan pelaporan.
“Kami memerlukan mekanisme yang telus seperti saluran pelaporan tanpa nama, audit berkala dan tinjauan iklim sekolah secara tetap adalah penting untuk memastikan ketepatan data,” katanya.
Mak berkata walaupun langkah berstruktur seperti audit keselamatan dan penambahan warden asrama adalah kukuh, buli kekal sebagai isu budaya dan tingkah laku.
“Kejayaan jangka panjang akan bergantung pada pendidikan pencegahan, pembelajaran sosial-emosi dan kerjasama kukuh antara sekolah dan ibu bapa. Kemajuan yang berterusan memerlukan pendekatan seluruh sekolah dan seluruh komuniti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial