KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 5 Mac di tengah-tengah ketidaktentuan kadar tarif Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata ketidaktentuan berkenaan turut mengukuhkan keputusan bank pusat untuk mengekalkan kadar itu pada awal tahun lepas.
Hal ini kerana sebarang peningkatan pertumbuhan yang berpotensi daripada tarif yang lebih rendah, walaupun pada 10 peratus, mungkin akan diimbangi oleh risiko penurunan akibat ketidaktentuan dasar perdagangan yang meningkat, kesan penggantian yang mungkin timbul daripada pengurangan tarif yang lebih besar oleh China dan risiko tambahan daripada tarif Seksyen 232 yang lebih tinggi.
"Tarif Seksyen 122 yang baru berkuat kuasa iaitu pada 10 peratus dengan pentadbiran Trump bersiap sedia untuk menaikkan kadar kepada paras siling 15 peratus, 'mengikut kesesuaian'.
"Ini mungkin sebagai pengaruh untuk mendesak negara-negara ke arah rundingan perdagangan baharu dan untuk mempercepatkan pengesahan perjanjian yang dipersetujui (termasuk dengan Malaysia)," katanya.
Bagi pertumbuhan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.5 peratus sekali gus mencerminkan risiko yang seimbang daripada rejim tarif baharu termasuk potensi ancaman tarif Seksyen 232.
"Walaupun kadar tarif efektif yang lebih rendah, unjuran pertumbuhan KDNK 2026 kami pada 4.5 peratus kekal tidak berubah, mencerminkan risiko yang seimbang daripada rejim tarif baharu termasuk potensi ancaman tarif Seksyen 232," kata Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB.
Ia berkata selain pendedahan eksport Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus terhadap permintaan semikonduktor AS, barangan yang terjejas di bawah langkah Seksyen 232 yang berpotensi boleh menambah satu peratus lagi.
Ia juga membawa risiko penurunan yang ketara kepada pertumbuhan dan seterusnya mengurangkan kemungkinan kenaikan kadar tahun ini.
Sementara itu, inflasi utama dan inflasi teras kekal tidak berubah pada Januari 2026 masing-masing pada 1.6 peratus dan 2.3 peratus tahun ke tahun.
Antara penyumbang utama, perumahan dan utiliti serta pelbagai barangan dan perkhidmatan menyaksikan peningkatan inflasi manakala pengangkutan mencatatkan penurunan akibat harga bahan api dan pengangkutan barang yang lebih rendah.
"Peningkatan dalam perumahan dan utiliti serta pelbagai barangan dan perkhidmatan diimbangi dengan penurunan dalam pengangkutan, menyebabkan inflasi utama kekal tidak berubah kerana sumbangan daripada komponen lain kekal stabil," katanya.
Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB menekankan kenaikan dalam indeks perumahan dan utiliti dipacu terutamanya oleh peningkatan sebanyak 10.2 peratus dalam caj kutipan pembentungan, mencerminkan peringkat akhir pelarasan tarif berperingkat sejak 2022.
Memandang ke hadapan, ia berkata sumbangan perumahan dan utiliti kepada inflasi dijangka meningkat lima mata asas pada Februari dan Mac, disebabkan oleh pengurangan pelarasan bahan api automatik yang lebih kecil dalam tarif elektrik.
Kenaikan yang lebih pantas dalam pelbagai barangan dan perkhidmatan, katanya, sebahagian besarnya disebabkan oleh komponen barang kemas dan jam tangan yang mencatatkan peningkatan ketara dalam inflasi sejak suku keempat 2025, selaras dengan kenaikan harga emas.
Ia berkata anggaran inflasi teras tanpa emas sedikit menurun pada Januari 2026, menunjukkan tanda-tanda tekanan harga asas yang terhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial