KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kementerian Kewangan menjangkakan kutipan hasil cukai pendapatan individu meningkat 9.4 peratus pada 2026 kepada RM49.07 bilion, disokong oleh pertumbuhan gaji yang lebih stabil serta peningkatan bilangan pembayar cukai berdaftar sebanyak 13 peratus.
Timbalannya, Liew Chin Tong berkata peningkatan itu turut disokong oleh kadar pengangguran yang rendah serta pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Selain itu, pendapatan syarikat yang lebih tinggi khususnya daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan serta pelaksanaan e-Invois secara berfasa mulai Ogos 2024 dijangka turut menyumbang kepada peningkatan hasil cukai korporat serta mengurangkan ketirisan dan meningkatkan pematuhan cukai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah pungutan cukai pendapatan individu dan Syarikat dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 2025 serta anggaran bagi 2026.
Sementara itu, Liew berkata hasil cukai pendapatan syarikat pula dijangka meningkat 6.5 peratus kepada RM103.35 bilion, manakala kutipan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan masing-masing diunjurkan sebanyak RM26.6 bilion dan RM33 bilion.
Menjawab soalan tambahan Chong sama ada kerajaan berhasrat melonggarkan penguatkuasaan e-Invois terhadapat perindustrian kecil dan sederhana, beliau berkata kerajaan telah melonggarkan fasa pelaksanaan e-Invois daripada enam bulan kepada setahun.
Selain itu, kerajaan juga menaikkan nilai ambang kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial