WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NANOMALAYSIA PERKENAL PROTOTAIP BATERI NATRIUM-ION 300 WH/KG BERPRESTASI TINGGI

02/03/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- NanoMalaysia Bhd (NMB) melakar satu kejayaan besar dalam aspirasi penyimpanan tenaga Malaysia melalui pembangunan prototaip bateri natrium-ion dipertingkat dengan grafena bagi menawarkan ketumpatan tenaga melebihi 300 watt-jam sekilogram (Wh/kg), antara yang tertinggi di dunia.

NMB, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata prototaip itu dibangunkan oleh pasukan projek NMB dengan kerjasama International Battery Centre Sdn Bhd.

“Teknologi ini telah mencapai di peringkat pengesahan prototaip, menandakan satu langkah penting ke arah pembangunan selanjutnya dan kesediaan untuk pengkomersialan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dibangunkan di bawah Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI), bateri natrium-ion itu menggunakan katod natrium vanadium fosfat (NVP) berasaskan NASICON yang disepadukan dengan nano-aditif grafena untuk meningkatkan prestasi elektrokimia, ketumpatan tenaga dan kestabilan struktur bagi penyimpanan tenaga generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif NMB Rezal Khairi Ahmad berkata dengan melepasi 300 Wh/kg pada peringkat prototaip, ia membuktikan teknologi natrium-ion mampu memberikan prestasi kukuh yang setanding dengan teknologi litium-ion, sambil menangani cabaran kos, keselamatan dan kemampanan bahan.

“Melalui NESTI, kami sedang memajukan ekosistem penyimpanan tenaga Malaysia dengan memacu pembangunan teknologi, peningkatan skala dan pengkomersialan untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai bateri serantau.

“Teknologi berkenaan mewakili peralihan penting daripada kebergantungan kepada litium dan meletakkan Malaysia sebagai salah satu gergasi teknologi terkemuka dalam pasaran bateri,” katanya.

Rezal Khairi berkata pelbagai bentuk perkongsian dengan pembeli industri adalah penting dalam langkah seterusnya untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan teknologi, sekali gus memastikan kepentingan pelabur swasta tempatan dan antarabangsa terpelihara.

Pasaran bateri natrium-ion global diunjurkan berkembang daripada US$1.8 bilion (US$1=RM3.90) pada 2025 kepada US$12.5 bilion menjelang 2035, iaitu peningkatan hampir tujuh kali ganda pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sekitar 21.4 peratus. 

NMB berkata sebagai agensi pengkomersialan nanoteknologi terkemuka negara di bawah MOSTI, ia akan terus memajukan keupayaan tempatan dalam teknologi litium-ion, natrium-ion, bateri generasi akan datang dan sistem penyimpanan tenaga.

Ini membolehkan kerjasama di peringkat industri, pembuatan rintis dan pembangunan piawaian untuk mengukuhkan peranan Malaysia dalam ekosistem bateri serantau, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan