KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu bersedia menghadapi impak seperti import yang lebih mahal susulan konflik di Timur Tengah, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia merupakan negara perdagangan dengan eksport dan import barangan bernilai tinggi yang dihantar melalui ruang udara rantau tersebut.
Katanya beberapa penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik kerana ruang udara di Timur Tengah ditutup ataupun dihadkan akibat ketegangan yang tercetus.
“Apabila laluan tidak selamat, penerbangan terpaksa dilencong ataupun dibatalkan. Ini bermaksud penerbangan ke Eropah jadi lebih jauh, (menyebabkan) kos bahan api meningkat dan kargo udara berisiko lewat.
“Apabila penghantaran lewat, kos naik dan harga (barang) pun naik,” katanya menerusi perkongsian di media sosial miliknya pada Ahad.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.
Menurut Tengku Zafrul, pasaran minyak juga bertindak pantas sebab Iran berada berhampiran laluan minyak yang paling kritikal di dunia.
“Apabila konflik meningkat, harga minyak pun melonjak kerana pasaran takut gangguan bekalan minyak.
“Justeru, (harga) minyak naik, logistik naik, harga (barang) pun naik,” katanya.
Beliau berkata apabila dunia tidak stabil, pelabur cenderung mencari tempat selamat seperti dolar AS dan emas, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit melalui aliran keluar modal.
“Apabila ringgit tertekan, import (akan jadi) lebih mahal,” katanya.
Mengenai kesan konflik di Timur Tengah terhadap “poket” rakyat Malaysia, Tengku Zafrul berkata impaknya bergantung pada tempoh konflik tersebut.
“Kalau sekejap, impaknya terhad, kalau lama, kita kena bersedia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial