KOTA BHARU, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas lebih tiga tan barang kawalan bersubsidi bersama tiga kenderaan dalam operasi bersepadu di sekitar Tumpat, semalam.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata rampasan itu membabitkan 2,176 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 888 kg gula pasir yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM32,970.80.
Beliau berkata operasi pada 5.50 petang itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN melalui Unit Risikan dan Tindakan Khas dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 selepas mengesan aktiviti mencurigakan di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Bunuhan, Tumpat.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi transit bagi menyimpan minyak masak dan gula sebelum dibawa menggunakan kenderaan ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
“Pasukan turut mengesan dua buah Proton Iswara dan sebuah Honda CRV di lokasi sama dengan beberapa individu sedang melakukan kerja pemunggahan barangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun berjaya ditahan dalam serbuan itu manakala tiga lagi individu melarikan diri ke kawasan sawah dan semak berhampiran.
Aswadi berkata pemeriksaan lanjut di rumah terbengkalai itu menemukan 1,207 kg minyak masak bersubsidi dan 629 kg gula yang disimpan untuk tujuan penyeludupan.
Katanya pemeriksaan ke atas sebuah Proton Iswara pula menemukan 340 kg minyak masak selain 288 kg gula pasir.
“Sebuah lagi Proton Iswara membawa 288 kg gula manakala 312 kg gula ditemukan dalam sebuah Honda CRV,” katanya dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial