WILAYAH - SELATAN > BERITA

PDRM JOHOR SELARAS KESELAMATAN SEMPENA PESTA CHINGAY 2026

05/03/2026 10:19 AM

JOHOR BAHRU, 5 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor mengadakan pertemuan bersama pihak penganjur bagi menyelaras dan memastikan aspek keselamatan awam berada pada tahap terbaik sempena Pesta Perarakan Chingay 2026 yang akan berlangsung esok hingga 10 Mac ini.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pesta anjuran Persatuan Tiong Hua Johor Bahru dengan sokongan Persatuan Hainan Johor Bahru, Persatuan Johor Bahru Kwong Siew Wai Kuan, Persatuan Hokkien Huay Kuan Johor Bahru serta Teochew Eight Districts Association itu akan mencapai kemuncaknya pada 9 Mac di Pentas Muhibbah, KOMTAR JBCC, di sini.

Beliau berkata penganjuran kali ini dijangka melibatkan 23 pasukan tarian singa dan naga serta 88 kereta berhias, dengan anggaran kehadiran 200,000 pengunjung, selain tontonan mencecah satu juta di platform media sosial.

“Satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon, wakil masjid dan surau yang terlibat serta ahli jawatankuasa persatuan penganjur bagi membincangkan garis panduan dan syarat yang perlu dipatuhi sepanjang perarakan berlangsung.

"Perarakan akan melalui tiga masjid dan sebuah surau di sekitar bandar raya ini. Memandangkan acara berlangsung dalam bulan Ramadan, PDRM Johor mengambil kira sensitiviti agama dan budaya masyarakat setempat bagi memastikan keharmonian serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata antara aspek diberi penekanan ialah kawalan bunyi, penyelarasan masa perarakan serta pematuhan terhadap laluan ditetapkan bagi memastikan kelancaran ibadah umat Islam sepanjang Ramadan tidak terjejas, di samping menjamin kelancaran sambutan kebudayaan masyarakat Cina.

Menurutnya, semua pihak mencapai persetujuan terhadap ketetapan yang dibuat bagi memastikan acara berlangsung dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Katanya, tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota adalah mencukupi, dengan pelan kawalan keselamatan serta pengurusan lalu lintas dirangka secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran trafik sepanjang program berlangsung.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuba menimbulkan ketegangan atau mengganggu keharmonian antara kaum dan agama selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang sambutan berlangsung," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan