WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PERKUKUH PERANAN DALAM SISTEM STATISTIK GLOBAL MELALUI UNSC57 - DOSM

09/03/2026 07:23 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia kekal komited menyokong mandat Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta terus menyumbang secara aktif dalam memperkukuh sistem statistik global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan usaha ini dilakukan menerusi penyertaan dalam Sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-57 (UNSC57) yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di New York bermula 3 hingga 6 Mac lepas.

Menurut DOSM penyertaan itu mencerminkan komitmen negara dalam memajukan inovasi statistik, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memastikan statistik rasmi terus menjadi asas utama kepada penggubalan dasar berasaskan bukti dan pembangunan mampan.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bersama Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri.

"Sepanjang UNSC57, Malaysia terlibat secara aktif merentasi pelbagai agenda suruhanjaya dengan mengemukakan 31 kenyataan bertulis nasional serta sembilan kenyataan lisan yang merangkumi bidang statistik sosial, ekonomi dan alam sekitar, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), sains data serta pemodenan statistik.

"Malaysia turut mengetengahkan pelbagai inisiatif utama DOSM termasuk pengukuhan tadbir urus data, pembangunan indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pengukuran kesejahteraan, statistik demografi dan perniagaan serta peluasan penyebaran data terbuka," menurut kenyataan itu.

Antara inovasi yang dipamerkan ialah DOSM GeoHub yang mengintegrasikan statistik rasmi dengan data geospatial, Indeks Kesejahteraan Malaysia (MyWI), pelaksanaan Banci Pertanian 2024 serta platform digital seperti TaniStats 2.0 dan MakGeoPadi yang memperluas akses kepada data pertanian yang lebih terperinci.

Menurut kenyataan itu, kemajuan Malaysia dalam meningkatkan akses dan kebolehgunaan data turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila negara menduduki tempat pertama dunia dalam Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/2025, sekali gus mencerminkan komitmen kukuh negara terhadap ketelusan statistik dan inovasi data.

Mohd Uzir berkata UNSC merupakan platform medan global paling penting dalam membentuk masa depan statistik rasmi khususnya ketika dunia berdepan transformasi digital dan ekosistem data baharu yang dipacu teknologi.

“Dalam era transformasi digital yang pesat, permintaan terhadap data yang lebih terperinci serta kemunculan ekosistem data baharu yang dipacu oleh kecerdasan buatan dan data raya menjadikan sistem statistik kebangsaan yang kukuh dan berdaya tahan semakin kritikal,” katanya.

Beliau berkata, di luar sesi rasmi, delegasi Malaysia turut menyertai pelbagai forum peringkat tinggi, mesyuarat kumpulan pakar dan acara sampingan termasuk forum berkaitan kesiapsiagaan kecerdasan buatan bagi data dan statistik rasmi, mesyuarat Kumpulan Kerja Antara Sekretariat mengenai Tinjauan Isi Rumah, serta forum statistik rasmi bertemakan 'Melangkaui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)'.

Malaysia turut dijemput sebagai panel dalam sesi berkaitan pengukuhan sistem banci pertanian negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta perbincangan peringkat tinggi mengenai penggunaan statistik bagi mempercepat pengurangan kemiskinan pelbagai dimensi menjelang 2030.

UNSC57 menghimpunkan hampir 500 peserta dari 96 negara, 44 organisasi antarabangsa serta lima organisasi bukan kerajaan dengan kira-kira 372 kenyataan bertulis dan 81 acara sampingan yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kredibiliti, kebolehbandingan dan kemampanan statistik global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan