KUANTAN, 9 Mac (Bernama) -- Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, minggu lepas.
Muhammad Syarif Zawahid dan rakannya Muhammad Syafiq Farhan Mohd Norizam, masing-masing berusia 21 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mereka didakwa bersama menyebabkan kecederaan kepada Koperal Muhammad Firdaus Ahmad yang sedang menjalankan kewajipannya sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Sungai Lembing berhadapan simpang Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini kira-kira 9 malam, 2 Mac lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilla Huda Jasmani mencadangkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh, bagaimanapun Nurul Syafiqa Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah diberikan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam .
Di mahkamah berasingan, Muhammad Syarif turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal jenis Honda Vario 160 secara melulu dan membuat aksi bahaya melanggar lampu isyarat merah serta potongan Zig- Zag di tengah jalan awam di lokasi dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa PDRM Insp Noraini Mohd Nor manakala lelaki itu diwakili Farah Atiqah Asruddin daripada YBGK.
Majistret Wahidah Zainal Abidin menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dan 15 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada 2 Mac lepas, anggota trafik yang sedang menjalankan tugas memantau lalu lintas mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan akibat terjatuh selepas tertuduh dipercayai melanggar tayar belakang motosikal penjawat awam itu semasa diminta memberhentikan kenderaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial