WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKDM KLIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN DADAH, SITA MATA WANG ASING BERNILAI RM3.26 JUTA

09/03/2026 03:13 PM

SEPANG, 9 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan dadah serta menyita pelbagai mata wang asing dengan nilai keseluruhan RM3.26 juta dalam tiga kes berasingan pada Januari dan Februari lepas.

Pengarah JKDM KLIA Zulkifli Muhammad berkata pada 29 Januari lepas, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP 1) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Terminal 1 menahan seorang lelaki warga Tanzania berusia lingkungan 50-an di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki mengedar dadah melalui kaedah ‘body packer’. 

"Pemeriksaan imbasan badan terhadap suspek menemukan objek mencurigakan dalam bahagian abdomen sebelum lelaki itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 101 kapsul berbalut plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih disyaki kokain dikeluarkan daripada badan suspek dan jumlah rampasan dianggarkan seberat 1,629.20 gram dengan nilai kira-kira RM733,140," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli suspek telah dituduh di mahkamah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Sementara itu pada 6 Feb lepas beliau berkata pasukan operasi CPP 1 dan AKPS Terminal 1 menahan seorang pengembara warga Bangladesh di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki membawa masuk mata wang asing tanpa membuat pengisytiharan.

Pemeriksaan terhadap bagasi milik pengembara itu menemukan wang tunai dalam pelbagai mata wang iaitu Saudi Riyal, euro dan pound sterling yang disembunyikan di dalam pelapik lipatan kemeja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pengembara gagal membuat pengikraran di dalam Borang Kastam 7 ke atas amaun tunai yang hendak dibawa masuk ke Malaysia, dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019 yang mewajibkan pengembara mengisytihar amaun tunai dan instrumen boleh niaga bersamaan atau melebihi USD10,000 yang ingin dibawa masuk ke Malaysia.

"Nilai keseluruhan sitaan mata wang tersebut dianggarkan RM2.41 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan melanggar subseksyen (1) suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," kata Zulkifli.

Bagi kes ketiga beliau berkata pada 10 Feb lepas, seorang pengembara warga Indonesia ditahan di Balai Pelepasan Antarabangsa Terminal 2 KLIA kerana disyaki cuba membawa keluar mata wang Ringgit Malaysia tanpa pengisytiharan serta kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata pengembara tersebut tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia, dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019. 

"Peraturan tersebut menyatakan pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga pembawa yang keluar dari Malaysia untuk mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No. 7 sekiranya amaun tunai atau instrumen boleh niaga pembawa melebihi atau bersamaan nilai USD 10,000. 

"Selain daripada itu, kelulusan dari BNM bagi mata wang Ringgit Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mata wang tersebut dibawa keluar dari Malaysia," katanya.

Zulkifli berkata hasil pemeriksaan, anggota operasi CPP 2 dan AKPS Terminal 2 telah menemukan mata wang Ringgit Malaysia yang disembunyikan di dalam satu bagasi milik pengembara tersebut, dan kes kemudiannya telah diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan LTAKL untuk tindakan lanjut. 

"Nilai sitaan mata wang tersebut adalah sebanyak RM120,100 dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan melanggar subseksyen (1) suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan