KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Individu yang dikesan membuang sampah di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak boleh dikenakan tindakan mengikut Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 di lokasi terlibat.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata lebuh raya berkenaan merentasi beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan dari Telok Melano hingga Miri, yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata masalah sampah sarap di lebuh raya itu berpunca daripada beberapa faktor antaranya sikap segelintir pengguna jalan raya yang membuang sampah dari dalam kenderaan secara tidak bertanggungjawab.
“Kenderaan berat khususnya lori yang berhenti di kawasan P-Turn, perhentian bas dan bahu jalan bagi tujuan berehat serta makan, meninggalkan sisa makanan dan sampah di lokasi berkenaan. Peningkatan jumlah trafik di kawasan tertentu turut menyumbang kepada keadaan ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai punca keadaan sampah sarap yang berleluasa di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Ahmad berkata sebanyak 15 daripada keseluruhan 26 seksyen lebuh raya itu telah diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor dilantik iaitu PBH Asset Management Sdn Bhd bagi tujuan penyenggaraan.
Beliau berkata nilai kontrak penyenggaraan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Sept 2024 hingga 31 Ogos 2027 berjumlah RM69,248,876.40 merangkumi kutipan sampah dua kali seminggu, penyenggaraan berkala serta tindakan kecemasan bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan pengguna sentiasa terpelihara.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai dakwaan kos lampu solar Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tinggi, Ahmad berkata kos mencecah RM10,000 seunit itu menepati spesifikasi tinggi dan kualiti demi keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, kos berkenaan merangkumi jaminan selama lima tahun serta penggunaan bateri khas yang mampu bertahan selama dua hari tanpa cahaya matahari.
"Kita boleh beli lampu solar berharga RM200 di platform dalam talian, tetapi ia mungkin hanya bertahan beberapa minggu dan tiada elemen yang kita mahukan. Unit digunakan Jabatan Kerja Raya telah diuji di makmal tempatan dan antarabangsa untuk memastikan prestasi serta keselamatan optimum," katanya.
Ahmad berkata selain kualiti bateri, kos tersebut turut melibatkan faktor teknikal lain seperti ketinggian tiang yang khusus, upah buruh serta kos penyelenggaraan bagi memastikan tahap pencahayaan mencapai kawasan sasaran di atas jalan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial