GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) susulan keputusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menolak Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek pemulihan dan penambakan tapak pelupusan sampah Jelutong di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata perkara itu diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bermesyuarat pada hari ini.
Beliau berkata perbincangan itu bagi membolehkan penelitian dibuat mengenai isu berbangkit sebelum kerajaan negeri membuat keputusan selanjutnya.
“Kerajaan negeri dimaklumkan JAS melalui surat bertarikh 2 Mac 2026 kepada PLB Engineering Berhad (PLEB) telah menolak Laporan EIA bertajuk ‘Proposed Landfill Rehabilitation And Land Reclamation Works For Mixed Development At Seksyen 8, Bandar Jelutong, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cadangan penambakan di kawasan tapak pelupusan sampah seluas 34.4 hektar itu melibatkan penggalian dan pemulihan tapak pelupusan sampah serta menambak kawasan pantai bersebelahan di utara Jambatan Pulau Pinang untuk meletakkan sementara sampah digali dari tapak pelupusan terbabit, dengan projek pembangunan campuran akan dijalankan atas tanah ditambak.
Projek itu bagaimanapun mendapat bantahan penduduk dan kumpulan alam sekitar, yang menegaskan penambakan tanah bersebelahan tapak pelupusan lama Jelutong boleh menjejaskan kesihatan awam serta merosakkan ekosistem marin 'middle bank’ berdekatan.
Kos projek itu ditanggung sepenuhnya oleh PLBEB, syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan dan ia dijangka mengambil masa sekitar 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial