WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUSTAPHA SAKMUD KECAM TINDAKAN HINA AL-QURAN TULAR DI MEDIA SOSIAL

11/03/2026 03:16 PM

KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud mengecam tindakan menghina kitab suci al-Quran yang tular di media sosial dipercayai dilakukan individu dari negeri berkenaan.

Beliau berkata perbuatan yang memaparkan naskhah al-Quran didakwa dipijak dan diconteng dengan lukisan menghina itu adalah melampau serta bertentangan dengan nilai masyarakat di negara ini.

“Perbuatan ini amat melampau, tidak bertamadun dan melanggar prinsip Rukun Negara. Ia adalah jenayah dan perbuatan yang kurang ajar lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Malah ia bukan budaya Sabah yang amat menjunjung keharmonian bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata sebarang bentuk penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah dan seluruh negara.

Beliau berkata Malaysia dibina atas asas saling hormat-menghormati antara agama dan budaya, justeru tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan nilai itu.

Sehubungan dengan itu, beliau menyokong penuh tindakan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap individu yang terlibat.

“Pada masa sama, saya menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang. Kepercayaan sepenuhnya harus diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus demi memastikan kestabilan, keharmonian serta perpaduan masyarakat di Sabah dan di seluruh negara terus terpelihara,” katanya.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu.

Gambar yang tular dan dimuat naik di aplikasi Threads memaparkan al-Quran dipijak dan diconteng dengan lakaran yang menghina Nabi Muhammad SAW.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan