KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Program World #QuranHour (WQH) 2026 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini dengan tema “Membentuk Manusia Sebelum Membentuk Dunia”, memberi tumpuan kepada surah al-Muzammil, sekali gus mengimarahkan lagi 21 hari umat Islam berpuasa pada Ramadan.
Di IBU NEGARA, penganjuran program buat kali ke-11 itu diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana dan buat julung kalinya dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, seiring dengan kedudukan universiti itu sebagai institusi bertaraf antarabangsa.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Datuk Hussamuddin Yaacub selaku penganjur berkata inisiatif itu bagi memastikan peserta termasuk duta antarabangsa yang hadir menerima mesej yang disampaikan dengan jelas, sekali gus membantu memperluaskan gelombang WQH ke negara asal masing-masing.
“Program WQH kali ini juga diadakan di 13 lokasi di 10 negara termasuk di Mekah dan Indonesia, sejajar dengan mesej yang ingin diketengahkan, iaitu meng-Qurankan ummah,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Sementara itu, Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata penganjuran WQH bertepatan dengan kedudukan UIAM sebagai universiti antarabangsa yang telah melahirkan lebih 140,000 pelajar dari 140 negara.
Di SELANGOR, WQH diadakan di SACC Mall, Shah Alam yang dimulakan dengan sesi tadarus surah al-Muzzammil, tadabbur oleh Ustaz Hassan Basri Ali dan kemudian tazkirah oleh Timbalan Mufti Pahang Datuk Dr Badli Shah Alauddin.
Di MELAKA lebih 5,000 umat Islam termasuk pelajar sekolah dan tahfiz, penjawat awam serta komuniti setempat menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana sempena program itu yang diadakan di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.
Pada majlis itu, Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Muhammad Hashim Al Hafiz memimpin bacaan khatam al-Quran manakala Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Melaka Mohamad Nafi' Mohamad Nor memperdengarkan bacaan surah al-Muzammil.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Sementara itu, di PERAK, kira-kira 1,500 peserta hadir pada program yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh itu.
Turut hadir Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Mohd Zahidi berkata penganjuran WQH adalah satu inisiatif yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh budaya mendekati dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja mengajak umat Islam untuk membaca al-Quran, malah memberi penekanan kepada aspek tadabbur, iaitu memahami mesej dan hikmah yang terkandung di dalam ayat-ayat suci al-Quran agar ia dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan dan akhlak dalam kehidupan seharian,” katanya.
Di KELANTAN, Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji negeri Datuk Adnan Hashim berkata lebih 1,000 peserta menyertai program yang diadakan di Masjid As-Siddiqin Mukim Panchor, Kota Bharu.
“Sebelum ini kami mengadakan program WQH di masjid negeri sebagai lokasi utama tetapi tahun ini kami memilih masjid di kawasan pinggir bandar sebab mahu lebih banyak penyertaan daripada komuniti setempat.
“Penyertaan daripada pelajar sekolah juga semakin banyak dan ia jelas menunjukkan program ini berjaya mendidik mereka cintakan al-Quran dengan penghayatan terhadap kalam Allah, memahami maksud dan pengajarannya,” katanya.
Di KEDAH, lebih 300 peserta menyertai program yang diadakan di Masjid Sultanah Bahiyah di Alor Setar, yang menampilkan pelbagai aktiviti sampingan termasuk ceramah agama, pertandingan qasidah, gubahan sejadah serta nasyid kanak-kanak.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah Shahizan Affandi Zakaria berkata selaku penganjur pihaknya menukar lokasi penganjuran setiap tahun bagi membolehkan orang ramai terlibat sama dalam program itu.
Di PERLIS, sebanyak 309 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Putra dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra menyertai program yang berlangsung di Masjid Al-Arifin Padang Katong di Kangar.
Pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong Sazali Saidin berkata surah al-Muzammil dipilih sebagai surah utama pada kali ini bagi memberi penghayatan terhadap mesej yang terkandung di dalamnya, khususnya berkaitan kepentingan mendekatkan diri kepada Allah serta memperkukuh amalan ibadah dalam kehidupan seharian.
Di PULAU PINANG program itu diadakan serentak di enam lokasi dengan lokasi utama di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan Jawi, Nibong Tebal dan dirasmikan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Lima lokasi lain ialah Darul Hannan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Sekolah Menengah Islam Al-Masriyah, Maahad Al-Mashoor Al-Islami, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dan Penjara Pulau Pinang yang keseluruhannya melibatkan 1,700 peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial