DUNGUN, 21 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Pulau Tenggol dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata kejadian berlaku pada 4.30 petang ketika Tam Peng Hoong, 66, melakukan aktiviti berkenaan bersama-sama anaknya.
"Dimaklumkan anak mangsa (Tam) telah naik ke permukaan air selepas lima minit menyelam, bagaimanapun mangsa tidak timbul setelah sejam melakukan selaman," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan, Pahang menerima aduan berhubung insiden itu petang tadi manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan pada 2.10 petang, sembilan minit selepas aduan diterima.
Abdul Halim berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan bot Penggalang16 ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat telah diwujudkan di Kuala Dungun di sini.
"Setakat 7 malam tadi, tiada sebarang tanda penemuan mangsa. Operasi SAR akan disambung semula pagi esok," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial