SEOUL, 21 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kira-kira 40,000 peminat berkumpul di pusat bandar Seoul pada Sabtu untuk menyaksikan kumpulan K-pop BTS kembali ke pentas selepas berehat selama empat tahun, menurut pihak berkuasa, sekali gus mendorong langkah keselamatan ditingkatkan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kumpulan yang terdiri daripada tujuh anggota itu memulakan konsert di Dataran Gwanghwamun pada 8 malam, menarik kira-kira 40,000 hingga 42,000 orang ke kawasan berkenaan, menurut polis.
Lokasi itu merangkumi kira-kira 22,000 tempat berdiri sahaja yang merentasi dari Dataran Gwanghwamun hingga ke Dewan Bandaraya Seoul. Ramai peminat turut menonton konsert melalui skrin besar yang dipasang pada bangunan berhampiran, manakala yang lain berkumpul di sekitar dataran bagi menyaksikan persembahan itu.
Langkah keselamatan diperketatkan susulan kehadiran peminat dan pengunjung dari seluruh dunia, dengan kira-kira 15,000 petugas pengurusan keselamatan dikerahkan, termasuk sekitar 6,700 anggota polis.
Kawalan trafik turut dipertingkatkan, dengan akses kenderaan ke jalan utama di dataran itu ditutup sejak Jumaat malam, manakala jalan berhampiran dihadkan dari petang Sabtu hingga 11 malam.
Operasi kereta api bawah tanah turut diselaraskan. Tren tidak berhenti di Stesen Gwanghwamun sejak 2 petang, manakala Stesen City Hall dan Stesen Gyeongbokgung di Laluan 3 tidak berhenti sejak 3 petang. Perkhidmatan akan disambung semula selepas 10 malam.
Sebagai sebahagian langkah keselamatan, pihak berkuasa mewujudkan zon kawalan orang ramai berpagar selebar 200 meter dan sepanjang 1.2 kilometer yang boleh diakses melalui 31 pintu masuk dilengkapi pengesan logam.
Polis memaklumkan individu tanpa dokumen pengenalan diri boleh diminta memberikan nombor pendaftaran penduduk atau cap jari mereka.
Pihak berkuasa turut memberi tumpuan khusus terhadap kemungkinan ancaman keganasan, dengan tahap amaran keganasan di kawasan itu dinaikkan ke tahap kedua terendah dalam sistem empat peringkat. Unit komando polis akan digerakkan untuk memantau ancaman berkenaan.
Polis turut mengehadkan pemulangan senjata api kepada pemilik berlesen pada Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga. Korea Selatan mewajibkan semua pemilik senjata api menyimpan senjata mereka di balai polis tempatan.
Perkhidmatan loker kereta api bawah tanah di 17 stesen di seluruh Seoul turut ditutup susulan kebimbangan terhadap ancaman keganasan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial