WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANTUAN SUBSIDI INPUT DITERUSKAN SEPERTI BIASA - KPKM

26/03/2026 06:57 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Bantuan subsidi input seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku kenaikan kos baja di peringkat global susulan pergolakan semasa di Asia Barat.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kementerian turut mengambil maklum kesan kenaikan harga diesel terhadap kos operasi pesawah, pelbagai langkah proaktif telah diambil sejak awal untuk meringankan beban sektor pertanian negara.

"Sebelum pergolakan semasa di Asia Barat dan penyasaran semula subsidi diesel pada 2024, kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar, serta memperkenalkan bantuan upah menuai sebanyak RM50 sehektar," menurut KPKM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan mendakwa subsidi sedia ada yang diberikan kepada pesawah ketika ini dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos operasi semasa susulan kenaikan harga bahan api serta kos pengurusan lain.

Bagi menghadapi cabaran cuaca kering dan kemarau di utara negara, kementerian telah melaksanakan operasi pembenihan awan pada 13 hingga 14 Feb 2026, dan memperkenalkan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan sumber air terhad.

Pesawah yang terkesan turut dinilai bagi mendapatkan bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Skim Takaful Tanaman Padi.

Mesyuarat Pasca Kabinet kementerian pada Selasa lepas telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB), sebagai platform rasmi menghimpunkan semua pemain industri termasuk wakil pesawah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu industri secara kolektif dan telus.

"Jawatankuasa ini dipengerusikan sendiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bagi memastikan isu industri padi dan beras dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan berkesan," menurut kenyataan itu.

Satu sesi libat urus bersama pemain industri, termasuk wakil pesawah dan pengilang baja, telah diadakan pada Rabu lepas, dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak bagi mendapatkan maklum balas terus berkenaan impak kenaikan harga minyak dunia dan situasi perang di Asia Barat.

Susulan perkembangan semasa, kementerian menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti kesan keseluruhan terhadap sektor pertanian dan merangka tindakan lanjut secara menyeluruh.

Bantuan insentif tunggu tuai RM600 adalah bantuan khas sekali beri bagi musim tanaman 2023 dan 2024 sahaja, dan peruntukan ini tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026, justeru tiada isu kelewatan pembayaran seperti digembar-gemburkan.

Kerajaan MADANI melalui KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara serta keterjaminan makanan negara terus diperkukuh, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan