KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Penyelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sebagai langkah awal kerajaan untuk menjaga kestabilan negara, menjamin bekalan serta melindungi rakyat daripada kesan lebih parah sekiranya krisis di Asia Barat berpanjangan.
Pengarah Komunikasi PKR Adam Adli berkata penyelarasan sementara kuota daripada 300 liter kepada 200 liter itu bersifat sementara dan dibuat berasaskan data sebenar penggunaan, yang menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
“Setelah diperhalus, kerajaan memilih pendekatan yang lebih teliti dan berhemat dengan menyesuaikan had penggunaan tanpa menaikkan harga BUDI95 yang kekal pada kadar RM1.99 seliter.
“Langkah ini membuktikan kerajaan berusaha mengawal tekanan semasa tanpa terus memindahkan beban kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata konflik yang semakin meruncing di Asia Barat memberikan tekanan langsung terhadap bekalan minyak, gas dan makanan serta kos sara hidup global, namun kerajaan juga tetap mengambil kira keperluan kumpulan tertentu apabila pemandu e-hailing dan pekerja gig masih menikmati had penggunaan hingga 800 liter.
Selain itu, katanya, Sabah dan Sarawak juga terus menerima manfaat diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter dengan kawalan lebih ketat bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.
“Subsidi ini hak rakyat, bukan ruang untuk penyeludup merompak kekayaan negara, sebab itu penguatkuasaan perlu diperkasakan dan rakyat mesti terus menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membendung ketirisan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula pada 1 April susulan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, untuk meringankan beban rakyat, Perdana Menteri berkata inisiatif BUDI95 dikekalkan pada harga RM1.99 seliter.
Dalam pada itu, Adam berkata Malaysia akan terus memainkan peranan secara adil, tegas dan berprinsip dalam isu Asia Barat, dengan Perdana Menteri mengadakan perbincangan bersama-sama pemimpin serantau bagi mencari jalan perdamaian serta melindungi kepentingan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial