WILAYAH - SELATAN > BERITA

MELAKA TELITI CADANGAN LAKSANA BDR - SUK

27/03/2026 03:21 PM

MELAKA, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan Melaka sedang meneliti cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam di Melaka selaras langkah kerajaan pusat untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia ekoran krisis di Asia Barat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad berkata penelitian itu termasuk melihat sektor yang bersesuaian bagi melaksanakan langkah itu bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan tidak terjejas sekali gus tidak menyukarkan rakyat untuk berurusan dengan jabatan atau agensi tertentu.

"Kita menyambut baik cadangan pelaksanaan BDR oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan langkah ini bukan perkara baharu kerana pada pandemik COVID-19 sebelum ini pun kita pernah melaksanakannya.

"Bagaimanapun, kita masih meneliti dan menunggu arahan selanjutnya secara khusus bagi memastikan langkah ini dapat dilaksanakan dengan baik ke arah penjimatan serta kebajikan kepada pekerja," katanya kepada pemberita selepas program temu bual "Kokenut Shake" Dulu di Konti Melaka FM di sini hari ini.

Beliau berkata sektor swasta di negeri itu juga digalakkan melaksanakan langkah itu agar langkah penjimatan yang lebih menyeluruh dapat dicapai dalam tempoh krisis berkenaan.

Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam yang BDR bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia berikutan krisis di Asia Barat.

Langkah itu dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih selain sektor swasta juga digalakkan untuk melaksanakan BDR seperti yang dijalankan beberapa syarikat dan bank selama ini.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata tiada keperluan untuk memohon pelaksanaan operasi pembenihan awan di Melaka kerana paras air di semua empangan utama di negeri itu masih berada pada tahap terkawal dan mencukupi.

Beliau berkata bagaimanapun rakyat di negeri itu dinasihatkan untuk terus menggunakan air dengan berhemat ekoran cuaca panas berlarutan hingga Jun depan.

"Rakyat juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah dalam tempoh yang lama dan minum air yang mencukupi bagi mengelak kesan cuaca panas seperti strok haba," katanya.

Dua hari lepas, Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan