WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KECAM SERANGAN ISRAEL TERHADAP IRAN - PM ANWAR

27/03/2026 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat terhadap Iran serta menegaskan bahawa sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran susulan kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa.

"Saya telah berhubung dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.

"Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan. Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad," kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata pengalaman lepas membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.

"Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.

"Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini. Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera," kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan